MUAR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya cadangan untuk bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) tidak dipersetujui.

Beliau berkata keputusan tersebut akan dimuktamadkan secara persetujuan bersama dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Jun.

Menurutnya, jika keadaan itu berlaku, ia bagaimanapun tidak dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya memberi ruang autonomi kepada parti dalam menentukan strategi pilihan raya termasuk pembahagian 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

“Saya akan kata pada dia (Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) boleh ke tandatangan, nanti saya semak dulu (katanya)...

“Katalah dia tak sign (tandatangan), pastikan calon yang kita dah pilih ini gunakan logo Bersatu. Maknanya Bersatu tetap akan bertanding. Tapi kita rasa bebas sedikit, kalau dulu dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) kita ada dua kerusi DUN,” katanya lapor Kosmo!.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Bersatu sempena PRN Johor ke-16 di Bakri, di sini, pada 21 Jun.

Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin berkata Bersatu juga bersedia untuk menimbangkan pembentukan gabungan politik baharu susulan kemelut dalaman PN ketika ini.

PAS sebelum ini dilaporkan menamatkan kerjasama politik secara langsung dengan Bersatu walaupun masih kekal dalam gabungan tersebut, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan terhadap hala tuju PN.

Tan Sri Muhyiddin menyifatkan keadaan gabungan PN kini dicemari unsur ‘toksik’ yang menerima individu yang sebelum ini telah disingkirkan Bersatu.

“Kalau PN tak diperbaiki, ada kedatangan-kedatangan yang telah membawa sehingga orang kata PN telah toksik, dengan mengambil ‘Reset’ dia rangkumkan orang yang telah tinggalkan orang itu, ambil balik letak di situ.

“Bolehlah nak jadi ketua pembangkang. Tak salah tapi moral of the view very bad (dari segi persepsi umum, ia memberikan imej yang sangat negatif).

“Kalaulah dah tak boleh baiki apa nak buat?. Kita cari yang baru, Bersatu yang baru. Maknanya Bersatu tidak akan mati, kekal abadi untuk selama-lamanya.

“Kita cuba tubuhkan Bersatu Malaysia, boleh tak? Contohlah, dan jemput mana-mana parti yang nak (turut) serta bentuk satu gabungan parti yang besar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba menyingkirkan Bersatu daripada PN, yang ditubuhkan olehnya sendiri.

“Sampai bila-bila pun kita akan kekal dalam PN. Konon ada bunyi-bunyi dia nak singkirkan kita nak buangkan kita daripada rumah yang kita bina sendiri. Wajar ke tidak?

“Dalam perlembagaan PN, bahasa kalau ada masalah tertentu yang berbangkit, kalau pun perlu diambil tindakan tetapi tindakan menyingkirkan mana-mana parti mesti di bawah Majlis Presiden. Walaupun majlis tertinggi PN dipimpin oleh PAS, ia tak boleh dilaksanakan,” katanya.