Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata bidaan nombor pendaftaran istimewa ‘H’ yang mencatatkan hasil sehingga RM91.2 juta ($28.51 juta) dan memecah rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), akan digunakan untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara.

Dalam hantaran di Facebook, Encik Loke dilihat mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran bahawa wang hasil bidaan itu tidak akan digunakan untuk ‘balik rumah’.

“E-bid untuk nombor pendaftaran istimewa ‘H’ telah memecahkan rekod kutipan hasil JPJ untuk satu siri nombor pendaftaran.

“Jumlah hasil RM91.2 juta, H1 sahaja dapat hasil RM10.7 juta.

“Apa boleh buat dengan RM91 juta? Bukan untuk ‘balik rumah’,” tulisnya di Facebook pada 22 September.

Walaupun tidak menjelaskan lanjut, kenyataannya itu dipercayai merujuk kepada Tabung Solidariti Najib yang ditubuhkan Umno untuk mengumpul dana bagi membolehkan bekas Perdana Menteri yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, membayar denda RM50 juta, bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Pada 18 September lalu, mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bersetuju memberi pengampunan bersyarat kepada Encik Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta dan pematuhan terhadap semua syarat yang ditetapkan.

Menyusuli itu, Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib bagi mengumpulkan dana untuk membantu bekas Presiden Umno itu membayar denda ditetapkan.

Encik Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, namun Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun, dan denda kepada RM50 juta.

Mengulas lanjut mengenai hasil bidaan nombor pendaftaran itu, Encik Loke berkata separuh daripada RM91.2 juta itu akan dimasukkan ke Akaun Hasil Disatukan untuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, separuh lagi akan digunakan untuk membiayai inisiatif Kementerian Pengangkutan yang berorientasikan rakyat.

“H ini asalnya nombor pendaftaran untuk teksi. Maka, dengan hasil lumayan ini, kementerian akan gunakan wang ini untuk bantu pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara.

“Akan ada berita baik untuk pemandu teksi minggu depan,” tulisnya.

Terlebih dahulu, JPJ melancarkan nombor pendaftaran istimewa siri ‘H’ sempena Hari Malaysia 2026.

Huruf ‘H’ membawa maksud ‘Harmoni’ dan lebih istimewa merupakan siri terakhir nombor pendaftaran satu abjad yang akan dikeluarkan oleh JPJ.