Setahun selepas tragedi lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, pelancong yang lalu lalang di kawasan tumpuan ramai itu mungkin tidak menyedari peristiwa malang pada 23 Ogos 2024, yang mengorbankan seorang pelancong warga India.
Namun, buat peniaga yang beroperasi berdekatan tempat kejadian dan masyarakat setempat, episod hitam itu masih terpahat kukuh dalam ingatan.
Akan tetapi, kehidupan dan perniagaan tetap perlu diteruskan demi sesuap rezeki.
Jalan Masjid India merupakan tempat yang menarik pelancong tempatan dan luar negara, termasuk Singapura, untuk membeli pelbagai jenis pakaian, cenderahati, makanan jalanan dan perniagaan emas.
Tinjauan Berita Harian (BH) di kawasan itu mendapati ia terus meriah, seolah-olah tiada sebarang insiden pernah berlaku.
Sebahagian besar pelancong yang ditemui mengakui tidak mengetahui langsung mengenai tragedi yang pernah menjadi tajuk utama media antarabangsa itu.
Namun peniaga, khususnya yang premis mereka terletak berhampiran lokasi kejadian, pula sebaliknya – rasa bimbang dan trauma masih ada, tetapi ada sebahagian juga yang enggan mengenang insiden itu dan mahu fokus kepada kelangsungan perniagaan.
Pun begitu, mereka mengakui bersyukur kerana keadaan sudah kembali pulih dan jumlah pengunjung termasuk pelancong yang datang semakin baik, sekali gus membantu memulihkan semula ekonomi peniaga di kawasan berkenaan.
Pekerja kedai emas, Cik Sarine Shamima Bahurdeen, 48 tahun, yang jarak premisnya hanya kira-kira 10 meter dari tempat kejadian, berkata tidak mungkin beliau boleh melupakan kejadian itu dan perasaan takut memikirkan kemungkinan insiden sama berulang sering datang terutama ketika hujan lebat.
“Walaupun sekarang keadaan nampak selamat, perasaan takut itu masih ada, apatah lagi sebelum ini pernah terjadi kejadian mendapan kedua berhampiran kawasan kejadian. Tetapi hendak buat macam mana, kena terus berniaga juga. Ini sumber rezeki kami.
“Apabila berjalan di kawasan ini dan terjumpa lubang kecil atau kerosakan jalan pun boleh buat saya bimbang,” katanya ketika ditemui BH.
“Namun kami bersyukur kerana pelanggan terutama dari luar seperti Bangladesh, Pakistan, Arab dan India semakin ramai kembali ke sini, mungkin kerana kebanyakan mereka tidak tahu mengenainya,” kata Cik Sarine Shamima.
Dalam kejadian malang itu, wanita warga India, Cik G Vijaya Lakshmi, 48 tahun, yang datang ke Malaysia bersama beberapa ahli keluarganya, hilang tanpa jejak selepas terjatuh dalam lubang benam sedalam lapan meter.
Mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras bawah tanah.
Usaha pencarian mangsa oleh pihak berkuasa selama lapan hari tidak membuahkan hasil, walaupun pelbagai kaedah berbahaya dan berisiko dilakukan.
Antaranya termasuk anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) diturunkan ke saluran pembetungan yang berarus kuat dan dicemari sisa kumbahan.
Enam lurang kumbahan sekitar lokasi operasi mencari dan menyelamat dibuka secara berperingkat bagi meluaskan kawasan pencarian.
Pasukan keselamatan turut menggunakan teknik flushing (pembilasan kawasan dengan air untuk mencari dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam tanah jerlus), serta alat pengesan radar bagi mengesan pergerakan bawah tanah.
Fokus pencarian kemudian dilakukan di kawasan titik akhir di loji Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, namun mangsa tetap gagal ditemui.
Bagi pengusaha perniagaan minyak wangi dari Dubai, Encik Mohd Hanif Mohd Nazrin, beliau tidak dapat melupakan teruknya perniagaan mereka terjejas selepas tragedi lubang benam itu dan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk pulih.
Katanya selepas kejadian itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap melakukan pemantauan dan kini tempat tanah jerlus itu sudah dibaiki sepenuhnya, malah sudah ada kedai makan dibuka di hadapannya.
Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan ramai terhadap keselamatan di kawasan tragedi itu.
“Hampir tiga bulan mereka tutup jalan di sini untuk proses baik pulih, memang teruk perniagaan masa itu.
“Harap sudah tiada apa-apa lagi seumpamanya yang akan berlaku. Sekarang ramai orang sudah lupa, tetapi kami tentunya tidak dapat melupakannya kerana kejadian berlaku di depan premis.
“Apa yang penting, perniagaan kami berjalan lancar walaupun ada cabaran tertentu.
“Pelanggan kami bukan saja dalam kalangan pemborong minyak wangi tempatan, tetapi juga ramai datang dari luar terutama pelancong Arab, Brunei, Indonesia, India termasuklah Singapura,” katanya kepada BH.
Cik Siti Norasmija Abu Samah, 36 tahun, peniaga di Bazar Jalan Melayu yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, berkata peniaga hanya mampu bertawakal, dan bersyukur perniagaan sudah kembali normal.
“Mujurlah sewa premis ini sekitar RM200 ($60.9) sebulan, masih berpatutan, jadi kami tetap bertahan.
“Ada juga pengunjung tempatan yang datang bertanyakan tempat kejadian tanah jerlus itu, tetapi pelancong luar kebanyakannya tidak tahu,” katanya.
Sementara itu pelancong dari Sri Lanka, Encik Mufaddal Mukarram, 41 tahun, mengakui tidak mengetahui mengenai tragedi lubang benam itu dan ini adalah kunjungan pertamanya ke Malaysia bersama ibu, dan memilih melawat Jalan Masjid India selepas dicadangkan rakan.
“Kami suka suasana Jalan Masjid India ini kerana kami memang mahu cari pasar tempatan untuk beli cenderahati,” katanya.
Cik Nafisa Khan, 29 tahun, penuntut dari Bangladesh, pula berkata beliau akan berkunjung ke Jalan Masjid India untuk membeli emas kerana sering mendapat saranan daripada rakan.
“Saya tak tahu pula mengenai kejadian itu jadi tidak ada rasa takut untuk datang ke sini. Bagi saya Jalan Masjid India ini unik kerana banyak barangan menarik dan murah yang boleh dijadikan cenderahati dijual di sini,” katanya.
“
“Walaupun sekarang keadaan nampak selamat, perasaan takut itu masih ada, apatah lagi sebelum ini pernah terjadi kejadian mendapan kedua berhampiran kawasan kejadian. Tetapi hendak buat macam mana, kena terus berniaga juga. Ini sumber rezeki kami.”“
“Sekarang ramai orang sudah lupa, tetapi kami tentunya tidak dapat melupakannya kerana kejadian berlaku di depan premis. Apa yang penting, perniagaan kami berjalan lancar walaupun ada cabaran tertentu.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg