Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, memang sinonim sebagai tarikan pelancong ke Malaysia dan tumpuan beli-belah sejak berpuluh tahun lamanya.
Namun kejadian tanah jerlus yang mengorbankan seorang pelancong India, pada 23 Ogos lalu, meletakkan nama Jalan Masjid India pada persepsi berbeza di mata pelancong serata dunia.
Soal selamat atau tidak masih menjadi persoalan walaupun jaminan telah diberikan kerajaan Malaysia.
Dalam insiden tersebut, seorang pelancong dari India, Cik G.Vijaya Lakshmi, 48 tahun, hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.
Insiden malang itu tidak dapat dinafikan adalah satu kejadian terpencil, tetapi amat serius.
Wanita yang datang melancong ke Kuala Lumpur tiba-tiba hilang tanpa jejak, dengan keluarganya terpaksa pulang ke negara mereka tanpa mengetahui nasib mangsa.
Mengikut sejarahnya, Jalan Masjid India asalnya dikenali sebagai Dickson Street, mengambil sempena nama Sir Frederick Dickson yang merupakan setiausaha kolonial bagi Negeri-Negeri Selat pada 1885 hingga 1891.
Jalan Masjid India terkenal menempatkan peniaga India Muslim.
Di situ juga terletaknya Masjid India berusia lebih 160 tahun (dibina pada 1863) yang diasaskan pedagang India Muslim dikenali sebagai Chulia, golongan yang berasal dari jajahan Madras di India Selatan.
Masjid India agak unik kerana khutbah Jumaat dibacakan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Tamil, Inggeris dan Melayu. Namun, pada kebanyakan masa dalam bahasa Tamil, kecuali jika ketika itu ada majlis tertentu.
Masjid setinggi tiga tingkat itu juga mengamalkan mazhab berbeza iaitu mazhab Hanafi.
Justeru, beberapa amalan di Masjid India sedikit berbeza dengan masjid lain di Malaysia yang berpegang amalan Mazhab Syafii.
Pun begitu, perbezaan itu tidaklah menjadi satu masalah, sebaliknya melambangkan keindahan Islam dalam menunaikan ibadah.
Antaranya, tiada bacaan doa qunut ketika solat subuh selain waktu asar lebih lewat daripada di masjid lain.
Masjid ini yang mampu memuatkan lebih 3,000 jemaah menjadi tumpuan peniaga India Muslim menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.
Selain popular dengan deretan kedai menjual pelbagai barangan terutama bertemakan budaya India seperti pakaian, barang perhiasan, aksesori dan barangan kemas, Jalan Masjid India sebelum ini juga amat popular dengan bazar semasa Ramadan.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan, Encik Mithlan Samijoo, berkata Jalan Masjid India sebelum ini pernah popular dengan bazar semasa Ramadan yang menarik pengunjung untuk mendapatkan keperluan perayaan seperti Aidilfitri dan juga Deepavali.
Namun, bermula 2019 semua bazar semasa Ramadan hanya tertumpu di lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Menurut beliau, ketika itu Jalan Masjid India lebih meriah, malah tidak ramai yang tahu sewa premis kedai di Jalan Masjid India antara yang paling mahal di Kuala Lumpur.
“Ini menunjukkan betapa kawasan Jalan Masjid India ini maju dan menjadi tumpuan pelancong. Sewa kedai saja lebih RM60,000 ($18,008) sebulan. Rumah kedai di Jalan Masjid India nilai pasarannya untuk satu lot empat tingkat mencecah RM40 juta,” katanya kepada Berita Minggu.
Kata beliau, Jalan Masjid India pernah menjadi permata Kuala Lumpur kerana lokasinya yang terletak di tengah kota dan memang sesak terutama setiap kali musim perayaan.
Justeru, katanya, memandangkan Jalan Masjid India akan melalui fasa pemulihan antara tiga hingga enam bulan susulan insiden tanah jerlus, pihak berwajib diharap mengambil tindakan bersesuaian untuk membantu peniaga yang terkesan.
“Walaupun kerajaan isytihar kawasan ini selamat, namun masih ramai yang takut-takut untuk datang terutama pelancong yang tidak tahu kedudukan sebenar tempat kejadian tanah jerlus dan premis niaga yang ada di situ.
“Pinta kami supaya kerajaan dapat kembalikan tarikan Jalan Masjid India, pulihkan imej yang tercalar di mata pelancong dek insiden tanah jerlus itu dan tingkatkan langkah keselamatan untuk pastikan keselamatan pengunjung,” pintanya.
Katanya, kebanyakan peniaga di Jalan Masjid India sebelum ini adalah peniaga runcit dan pakaian, namun kini banyak kedai telah bertukar kepada perniagaan emas yang menjadi trend terkini dan lebih mendapat sambutan terutama dalam kalangan pelancong, termasuk dari negara Arab dan Singapura.
Dalam pada itu jurucakap Tourism Malaysia mengulangi jaminan kerajaan bahawa Jalan Masjid India, malah Kuala Lumpur sendiri selamat untuk dikunjungi dan dihuni.
Menurut badan pelancongan itu, pelancong yang ragu-ragu dan takut-takut untuk berkunjung ke Kuala Lumpur boleh menghubungi Tourism Malaysia untuk penjelasan lanjut yang dapat menjernihkan kebimbangan berikutan ramai yang tidak tahu situasi sebenar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg