Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahathir: 4 negeri ditadbir PN mampu gegar ekonomi M’sia
Mahathir: 4 negeri ditadbir PN mampu gegar ekonomi M’sia
KUALA LUMPUR: Empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN), atau dinamakan SG4, disifatkan sebagai ‘gergasi tidur’ yang kini sedia untuk bangkit dan menggegar landskap ekonomi Malaysia, jika semua potensi serta sumber diperkasakan sepenuhnya.
Mantan Perdana Menteri Malaysia yang juga berperanan sebagai Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata gabungan kerajaan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis mempunyai kekuatan tersendiri dengan populasi melebihi 5.7 juta penduduk serta keluasan tanah merangkumi lebih 38,000 kilometer persegi.
Dr Mahathir menyampaikan kenyataan itu menerusi ucapan khas yang disediakan untuk Sidang Kemuncak SG4 di Kuala Lumpur pada 26 Oktober di Kuala Lumpur, yang dibacakan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Dr Mahathir pada awalnya dijadualkan menghadiri sidang kemuncak itu, namun tidak dapat berbuat demikian atas faktor kesihatan.
“Sejak SG4 diilhamkan dan direalisasikan, pemimpin negeri ini semakin sedar potensi mereka miliki serta sejauh mana jangkauan boleh dicapai.
“Sekiranya empat negeri ini dapat menyatukan tenaga, menggabungkan sumber dan saling melengkapi, slogan ‘the sky is the limit’ (tiada batasnya) bukan lagi sekadar kiasan.
“SG4 mempunyai saiz, kawasan, rakyat dan infrastruktur cukup untuk berkembang menjadi zon ekonomi yang produktif serta menguntungkan,” katanya menerusi teks ucapan itu, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, Dr Mahathir turut memohon maaf menerusi ucapannya kerana tidak dapat menyampaikan sendiri perutusan berkenaan berikutan faktor kesihatan.
“Bagaimanapun, saya amat berharap forum hari ini menjadi tanda aras baharu dalam usaha meletakkan SG4 sebagai entiti yang diterajui pengurusan mantap, berdaya saing, inovatif, mampan dan berpandangan jauh,” katanya.
Mengulas mengenai potensi sumber mineral, Dr Mahathir mendedahkan kekayaan unsur nadir bumi (REE) di negeri SG4 yang diiktiraf mempunyai simpanan tertinggi di Malaysia dan kini menjadi perhatian pelabur.
”Isu utama sekarang bukan sekadar mengekstrak dan menjual bahan mentah secara terus untuk hasil serta-merta bagi mengisi kantung negeri.
”Sebaliknya, perancangan perlu dibuat untuk menambah nilai kepada mineral ini bagi melipatgandakan hasil pendapatan negeri. Hanya dengan cara ini projek berkenaan menjadi mampan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” jelasnya.
Selain sumber mineral, Dr Mahathir memuji kepimpinan negeri SG4 yang mula beralih daripada kegiatan ekonomi tradisional kepada sektor baharu bernilai tinggi.
Beliau turut menepis persepsi kononnya masyarakat Melayu-Islam di empat negeri berkenaan kurang berdaya saing atau tidak pandai dalam bidang perniagaan.
“Jika perbandingan dibuat mengikut sempadan, ia mungkin kelihatan sedemikian. Namun jika dilihat daripada sudut rakyatnya, usahawan Melayu yang berjaya di Kuala Lumpur, Selangor dan Pantai Barat sebenarnya terdiri daripada anak-anak jati negeri SG4.
”Orang Melayu sebenarnya berada pada posisi terbaik untuk menjadi peniaga hebat kerana dibimbing oleh ajaran Islam.
“Islam sentiasa mengingatkan balasan berat bagi mereka yang menipu atau mencuri, dan kejujuran adalah nilai tertinggi. Kebersihan juga adalah asas kehidupan Muslim,” katanya.