Daripada seorang doktor muda di Alor Setar, Kedah, kepada negarawan yang mencorakkan Malaysia moden selama beberapa dekad, perjalanan hidup mantan Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad, mencapai usia ke 101 tahun pada 10 Julai.

Pada usia yang jarang dicapai manusia, satu-satunya pemimpin di Malaysia yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri itu terus menjadi antara tokoh politik paling berpengaruh di Malaysia, meskipun keadaan kesihatannya kini tidak lagi sekuat dahulu.

Dr Mahathir masih berhati-hati dan melalui proses pemulihan selepas mengalami patah tulang pinggul akibat terjatuh ketika melakukan senaman rutin di kediamannya, pada Januari lalu.

“Assalamualaikum dan selamat pagi. Saya ingin ucap terima kasih pada semua yang hantar mesej berkenaan hari kelahiran saya yang ke 101 tahun hari ini.

“(Pada) 10 Julai saya meningkat kepada 101 tahun dan terima banyak ucapan hari lahir. Terima kasih pada semua,” ucap Dr Mahathir dalam satu video pendek di samping isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Facebook rasmi beliau pada 10 Julai.

Dr Siti Hasmah juga bakal mencapai usia 100 tahun pada 12 Julai ini.

Pernah mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri tertua di dunia dengan kembali memimpin Putrajaya pada usia 92 tahun pada 2018 selepas bersara pada 31 Oktober 2003, pada usia lebih 100 tahun, Dr Mahathir menjadi antara saksi hidup kepada hampir keseluruhan perjalanan pembinaan Malaysia moden.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh. - Foto MAZLAN CHE SOH

Ketahanan menghadapi cabaran, keberanian berfikir jauh ke hadapan serta keyakinan terhadap keupayaan diri antara legasi terbesar Dr Mahathir yang wajar dicontohi generasi muda hari ini, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mazlan Che Soh.

Beliau berkata perjalanan hidup negarawan itu membuktikan kejayaan tidak hadir tanpa melalui pelbagai ujian, termasuk jatuh bangun dalam arena politik.

Tambahnya, Dr Mahathir telah meninggalkan satu legasi kepimpinan yang patut dijadikan panduan dan teladan terutama oleh golongan muda sebagai pelapis negara.

Menurutnya sepanjang lebih enam dekad berkecimpung dalam politik, Dr Mahathir pernah disingkirkan daripada Umno, kembali memimpin negara, selain menubuhkan parti politik baharu, namun tidak pernah berhenti menyumbang mengikut kapasiti yang dimiliki.

“Perkara yang paling menyentuh saya ialah ketahanan Dr Mahathir dalam menghadapi apa juga cabaran. Sejarah politik beliau menunjukkan bahawa setiap kali berdepan kegagalan atau halangan, beliau memilih untuk bangkit semula.

“Itu satu nilai yang perlu ada dalam diri anak muda hari ini, iaitu ketahanan mental, fizikal dan emosi untuk terus berusaha walau berdepan pelbagai cabaran,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Menurut beliau, satu lagi legasi penting Dr Mahathir ialah keupayaannya membentuk visi jangka panjang untuk negara menerusi gagasan seperti Wawasan 2020 yang menjadi landasan kepada pembangunan Malaysia moden.

“Walaupun tidak semua sasaran dapat dicapai sepenuhnya, beliau telah meletakkan asas yang jelas tentang hala tuju negara serta mendidik rakyat supaya yakin terhadap kebolehan sendiri dan berani bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut melihat sumbangan dan jasa besar Dr Mahathir sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri ialah meletakkan Malaysia di peta dunia menerusi dasar perindustrian dan pembangunan infrastruktur yang pada mulanya dipandang sinis banyak pihak.

Dr Mazlan yang pernah menjadi anggota pasukan pembukaan ikon binaan sukan Malaysia, Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, menjelang Sukan Komanwel 1998, berkata pengalaman bekerja rapat dengan Dr Mahathir meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

“Saya masih ingat beliau kerap turun padang memantau sendiri perkembangan projek dan sentiasa membawa buku nota untuk mencatat setiap perkara yang perlu diberi perhatian.

“Sikap teliti dan komitmen tidak berbelah bagi turun meninjau kerja pembinaan ketika itu menjadi antara sebab saya begitu menghormati beliau sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu dalam pelbagai ruang komen di media sosial pada 10 Julai, pemimpin dan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, umur dan bangsa, menitipkan ucapan selamat ulang tahun kelahiran buat Dr Mahathir, dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau.

Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-101 kepada Dr Mahathir dan mendoakan beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam rahmat dan keberkatan Allah swt.

“Semoga Tun terus dilimpahi rahmat, kesihatan yang baik dan berada dalam keberkatan-Nya. Insya-Allah,” tulis Datuk Anwar di Facebook.

Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, turut menzahirkan ucapan selamat kepada Dr Mahathir.

Menerusi satu kenyataan di media sosialnya, beliau mendoakan agar negarawan itu terus dikurniakan kesihatan yang baik serta dipanjangkan usia.

“Masya-Allah Tabarakallah, Mabrook..Selamat ulang tahun kelahiran ayahanda Tun,” tulis penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, di media sosial.

Sementara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menzahirkan ucapan syukur dapat mengenali dengan dekat Dr Mahathir sebagai tokoh yang bukan sahaja menyaksikan perjalanan sejarah Malaysia, malah turut mencorakkannya.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, usia 101 tahun Dr Mahathir bukan sekadar satu angka, sebaliknya melambangkan perjalanan hidup yang merentasi hampir keseluruhan sejarah negara.

“Tun lahir sebelum Merdeka, membesar ketika zaman penjajahan, menyaksikan kelahiran Malaysia dan bukan sekadar melihat sejarah berlaku, tetapi turut membantu membentuk sejarah negara ini.

“Tidak ramai yang berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan Malaysia daripada era sebelum kemerdekaan, menuju kemerdekaan, proses pembinaan negara sehinggalah berdepan pelbagai cabaran hari ini,” katanya pada 10 Julai.

Kata Syed Saddiq, antara nasihat yang paling diingati daripada Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu ialah seseorang pemimpin perlu mempunyai sokongan kukuh daripada keluarga ketika berdepan cabaran politik.

Sepanjang menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri keempat selama 22 tahun sejak Julai 1981, Dr Mahathir memperkenalkan pelbagai dasar yang membentuk hala tuju pembangunan Malaysia, termasuk Dasar Pandang Ke Timur dan Wawasan 2020 yang menjadi asas kepada aspirasi mencapai status negara maju.

Era kepimpinannya turut menyaksikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berskala besar yang menjadi mercu tanda Malaysia, antaranya pembinaan Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) serta projek kereta nasional, Proton.

Walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, Dr Mahathir kekal mengikuti perkembangan semasa dengan aktif menulis, menyertai forum dan menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu yang menyentuh politik, ekonomi serta masa depan negara.