Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahathir terima Anugerah Bapa Pembangunan Keusahawanan M’sia
Gesa negara utama pendidikan keusahawanan, boleh jadi pemacu negara maju
Mahathir terima Anugerah Bapa Pembangunan Keusahawanan M’sia
Mantan Perdana Menteri Malaysia dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, dikurniakan Anugerah Bapa Pembangunan Keusahawanan Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan peranannya dalam memajukan bidang keusahawanan negara.
Dr Mahathir menerima anugerah itu daripada Asia Centre for Entrepreneurship (ACE), pusat keusahawanan di bawah Binary University, dalam satu majlis di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, pada 26 November.
Meskipun hadir di majlis itu, Dr Mahathir tidak dapat menyampaikan ucapan atas faktor kesihatan. Ucapan tersebut dibacakan oleh anak perempuannya, Datin Paduka Marina Mahathir, bagi pihak beliau.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir menegaskan pendidikan keusahawanan perlu dijadikan keutamaan negara, bagi melahirkan lebih ramai pencipta peluang pekerjaan, bukan sekadar pencari pekerjaan.
Menurutnya beliau sentiasa percaya bahawa semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia mampu menjadi pemacu kemajuan negara.
“Sepanjang tempoh saya memegang jawatan (Perdana Menteri), saya amat yakin bahawa semangat keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia mampu membawa negara ke hadapan, dan sememangnya, ia telah terbukti.
“Usahawan bukan sahaja menjana kekayaan, malah memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, memperkenalkan teknologi baharu, memperkukuh industri, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Kekuatan sesebuah ekonomi juga sering kali dapat diukur berdasarkan kekuatan ekosistem keusahawanannya.
“Justeru negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan untuk mencapai kemakmuran yang mampan,” katanya dalam ucapan tersebut.
Dr Mahathir turut menyentuh pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur pada 1982 yang antara lain bertujuan membentuk asas kemahiran keusahawanan menerusi pembelajaran daripada sistem nilai, disiplin, etika kerja dan kecemerlangan industri Jepun serta Korea Selatan.
Menurutnya matlamat dasar itu bukan sekadar mendapatkan teknologi atau menarik pelaburan, sebaliknya memastikan rakyat Malaysia memiliki pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk membangunkan perniagaan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Dr Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada Binary University atas usaha untuk menjadi universiti keusahawanan pertama di Malaysia.
Menurut beliau, ekosistem keusahawanan universiti itu merangkumi lebih 10,500 usahawan yang menawarkan bimbingan, peluang perniagaan serta modal permulaan sehingga RM100,000 ($31,437).
Dr Mahathir turut menyambut baik penubuhan Tabung Kemanusiaan ACE oleh Binary University, yang menurutnya berpotensi memberi peluang kedua kepada golongan belia kurang bernasib baik menerusi sokongan usahawan dan dermawan berjaya.
Pada majlis sama, Binary University turut memberi pengiktirafan kepada lima usahawan hartawan dan dermawan dari Malaysia, Indonesia, India, Maldives dan Bangladesh dengan Anugerah Usahawan Dermawan Terbaik Asia.