Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah KL bebaskan Daim daripada kes gagal isytihar harta

Nov 20, 2024 | 4:01 PM
Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada kes gagal mengisytiharkan lebih 70 harta yang dihadapi ketika hayatnya.
Mantan Menteri Kewangan Malaysia, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada kes gagal mengisytiharkan lebih 70 harta yang dihadapi ketika hayatnya. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah melepas dan membebaskan (DNA) mantan Menteri Kewangan Malaysia, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, daripada kes gagal mengisytiharkan lebih 70 harta yang dimiliki ketika hayatnya.

Harta berkenaan termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi membuat perintah itu pada 20 November, mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

“Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu.

“Mahkamah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Seksyen 254 CPC menyatakan, dalam mana-mana peringkat perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa Raya, jika berpendapat patut, boleh memberitahu mahkamah yang ia tidak akan mendakwa tertuduh dan semua prosiding hendaklah dihentikan, serta tertuduh hendaklah dibebaskan daripada tuduhan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim susulan kematiannya.

“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.

Sebelum ini, isteri Tun Daim mahu pendakwaan membabitkan kegagalan mengisytiharkan harta dihadapi Allahyarham suaminya diteruskan supaya keadilan terhadap pemimpin itu terbela.

Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid dilapor berkata adalah menjadi hasrat Allahyarham supaya perbicaraan itu diteruskan di mahkamah sehingga tamat walau apa pun terjadi bagi membersihkan namanya yang tercalar akibat tuduhan yang disifatkan diada-adakan kerana dendam politik.

Kenyataan itu dikeluarkan Toh Puan Nai’mah selepas Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan akan menyemak semula pendakwaan terhadap Tun Daim yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas kematian pemimpin terbabit pada 13 November.

Tun Daim menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Selangor, selepas menerima rawatan selama dua minggu.

Pada 29 Januari, Allahyarham Tun Daim mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan hartanya.

Toh Puan Na’imah pula didakwa pada 23 Januari atas satu tuduhan gagal mengisytihar harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 ($30,005).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg