Pesta layang-layang di Pasir Gudang buka tirai Tahun Melawat Johor 2026
Pesta layang-layang di Pasir Gudang buka tirai Tahun Melawat Johor 2026
Penyertaan 56 negara termasuk S’pura perkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan utama
Penyertaan peserta dari Singapura menyerikan lagi Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-28, yang menghimpunkan 155 peserta antarabangsa dari 56 negara merentasi enam benua.
Ini sekali gus mencipta sejarah apabila acara itu diiktiraf oleh Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai festival layang-layang dengan penyertaan antarabangsa tertinggi.
Festival yang dianjurkan sejak 1995 itu kini memasuki hampir tiga dekad penganjuran berterusan dan kekal sebagai antara acara warisan paling penting di Johor, serta pembuka tirai kepada sambutan Tahun Melawat Johor 2026.
Pada peringkat awal, penganjuran festival itu bertujuan memelihara seni tradisional seperti Wau Bulan, Wau Merak dan Wau Kapal.
Namun Pasir Gudang kini diiktiraf sebagai pusat rujukan dunia bagi seni layang-layang, termasuk melalui kewujudan Muzium Layang-Layang pertama di Malaysia di Bukit Layang-Layang.
Sepanjang penganjurannya, festival itu pernah menarik sehingga 650,000 pengunjung bagi satu edisi, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan tempatan, pengusaha inap desa, pemandu kenderaan sewa privet dan sektor perkhidmatan setempat.
Bagi edisi ke-28, festival itu tampil dengan tema ‘Benua Bertemu di Langit Johor, Meh Lah!’, yang menekankan konsep perpaduan budaya melalui seni layang-layang, selain mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan yang terangkum, selamat dan berdaya saing.
Peserta dari Singapura, Cik Maggie Mok, 52 tahun, daripada kumpulan hobi Show Kites Singapore, berkata beliau menyertai festival berkenaan hampir setiap tahun kerana Pasir Gudang menjadi lokasi pembuka musim penerbangan layang-layang antarabangsa.
“Setiap tahun kami cuba membawa layang-layang baru ke Pasir Gudang kerana ini merupakan litar pertama bagi kami.
“Tahun 2026 kami membawa layang-layang Nautilus sepanjang kira-kira 16 meter. Angin agak perlahan, jadi kami perlu layang-layang besar yang memerlukan angin,” katanya.
Beliau berkata pasukannya biasanya membawa layang-layang Merlion setiap tahun, namun kali ini memilih rekaan lain.
“Kami sudah hampir 15 tahun terlibat dalam dunia layang-layang dan pernah ke banyak negara seperti Thailand, China, Korea dan Perancis. Festival ini sentiasa berkembang kerana semakin banyak negara menyertainya,” katanya.
Sementara itu, peserta dari Denmark, Encik Soren Momsen, 59 tahun, berkata festival berkenaan memberi pengalaman unik kepada pengunjung melalui konsep seni layang-layang yang kreatif.
“Saya bawa konsep layang-layang yang warnanya sama seperti langit, jadi orang hanya nampak ekor sepanjang kira-kira 500 meter.
“Orang hairan dan tertanya-tanya apa yang mereka lihat. Saya mahu memberi pengalaman dan imaginasi kepada orang ramai,” katanya.
Beliau turut menjalankan bengkel membuat layang-layang secara percuma kepada golongan muda, termasuk mereka yang mengalami tekanan emosi bagi membantu mereka kembali bergaul dalam masyarakat.
“Saya ajar mereka buat selfie kite (layang-layang swafoto). Mereka melukis potret diri dan menerbangkannya. Ia beri keyakinan dan kegembiraan kepada mereka,” katanya.
Peserta dari Tunisia, Cik Amel Amira Jelassi, 46 tahun, berkata beliau menggunakan festival berkenaan sebagai wadah memperkenalkan budaya negaranya.
“Setiap layang-layang saya mempunyai simbol budaya Tunisia seperti sangkar burung dan gambar bandar Sidi Bou Said. Layang-layang menyatukan manusia dari seluruh dunia kerana kita berkongsi langit yang sama,” katanya.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A. Rahim Nin, berkata penyertaan 2026 melibatkan negara baru seperti Greece, Hungary, Qatar, Tunisia, Algeria dan Uruguay.
“Kita menerima wakil dari enam benua dengan keseluruhan 56 negara. Ini melayakkan kita menerima pengiktirafan MBOR sebagai festival dengan penyertaan antarabangsa terbanyak,” katanya.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datin Paduka Hazlina Jalil, berkata pihaknya telah melakukan pelbagai persediaan termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan bagi menyokong Tahun Melawat Johor 2026.
“Festival ini acara ikonik bukan sahaja bagi Pasir Gudang, bahkan Johor. Kami turut menaik taraf prasarana pelancongan serta membangunkan galeri seramik interaktif di Bukit Layang-Layang sebagai nilai tambah kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata lebih 650,000 pengunjung telah hadir sepanjang festival yang berlangsung dari 4 hingga 8 Februari itu.

