Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan sahaja memberikan kerajaan negeri kedudukan politik kukuh, malah meningkatkan harapan rakyat supaya manfaat pembangunan dapat dirasakan secara langsung dalam kehidupan mereka.

Beberapa penganalisis berpendapat mandat melebihi dua pertiga itu perlu diterjemahkan kepada tindakan segera bagi menangani kos sara hidup, menyediakan pekerjaan bergaji tinggi, memperbanyak rumah mampu milik serta memperbaiki pengangkutan awam dan kesesakan rentas sempadan.

Mereka turut mengingatkan bahawa kejayaan pentadbiran Johor tidak harus dinilai semata-mata berdasarkan jumlah pelaburan diumumkan, sebaliknya melalui peningkatan pendapatan rakyat, peluang pekerjaan bermutu dan pengagihan pembangunan yang lebih seimbang antara bandar dengan daerah luar bandar.

Mandat kukuh beri faedah ekonomi jelas

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazalie Shafie, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Rusdi Omar, berkata kemenangan 48 kerusi memberikan kesahan kukuh kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar pembangunan tanpa gangguan politik yang ketara.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazalie Shafie, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Rusdi Omar.
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazalie Shafie, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Rusdi Omar. - Foto Fail

Namun, beliau menegaskan bahawa mandat besar itu bukan alasan untuk kerajaan berpuas hati, sebaliknya membawa tanggungjawab lebih berat untuk menyelesaikan masalah yang dekat dengan kehidupan rakyat.

“Keutamaan paling mendesak ialah kos sara hidup dan pekerjaan bermutu kerana kedua-dua perkara ini dirasai secara langsung oleh kebanyakan rakyat, berbanding angka pelaburan besar yang manfaatnya mungkin mengambil masa untuk sampai kepada mereka,” katanya.

Menurut Profesor Rusdi, projek besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pusat data dan pembangunan rangkaian pengangkutan awam perlu disepadukan dengan bantuan bersasar, rumah mampu milik serta langkah membendung kenaikan sewa dan harga rumah, khususnya di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Beliau berkata pembangunan pesat boleh membawa kesan sampingan jika kenaikan harga hartanah, sewa dan perkhidmatan berlaku lebih pantas daripada pertumbuhan pendapatan rakyat tempatan.

“Kerajaan negeri perlu memastikan pembangunan besar tidak menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Faedah ekonomi mesti sampai kepada rakyat dalam bentuk pekerjaan lebih baik, pengangkutan lebih lancar dan kediaman yang mampu dimiliki,” katanya.

Profesor Rusdi berkata JS-SEZ berpotensi menarik pelaburan bernilai besar serta mewujudkan banyak peluang pekerjaan, tetapi tanpa kaedah pengagihan faedah yang jelas, pembangunan itu mungkin lebih banyak menguntungkan pelabur, pemaju dan syarikat besar.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan), ketika Majlis Perasmian Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang menyasarkan untuk mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu (termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan tinggi) menjelang tahun 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan), ketika Majlis Perasmian Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang menyasarkan untuk mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu (termasuk 100,000 pekerjaan berpendapatan tinggi) menjelang tahun 2030. - Foto FACEBOOK HAIRI MAD SHAH

“Kerajaan negeri perlu menetapkan keutamaan kepada pekerja tempatan, menyediakan latihan kemahiran mengikut keperluan perusahaan dan menyalurkan sebahagian hasil cukai atau levi pembangunan kepada kemudahan awam serta perumahan rakyat.

“Jika tidak, akan timbul tanggapan bahawa pembangunan berlaku tanpa melibatkan rakyat, dan keadaan itu boleh menjejaskan kepercayaan dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara kerajaan negeri, institusi pengajian tinggi dan syarikat teknologi bagi melatih anak Johor dalam bidang kejuruteraan sistem, sains data, pengurusan teknologi dan kecerdasan buatan.

Katanya, syarat pemindahan pengetahuan dan latihan tenaga tempatan wajar dijadikan sebahagian daripada kelulusan pelaburan supaya anak Johor tidak hanya mengisi pekerjaan sokongan seperti kawalan keselamatan, penyelenggaraan bangunan dan sokongan teknikal asas.

“Anak Johor perlu dibawa naik dalam rantaian nilai ekonomi. Mereka mesti diberi peluang mengisi jawatan profesional dan pengurusan, bukan sekadar menjadi penonton kepada pertumbuhan yang berlaku di negeri sendiri,” katanya.

Limpahan ekonomi yang sama rata

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali, pula berkata kos sara hidup perlu menjadi tumpuan utama kerana kedudukan Johor yang bersebelahan dengan Singapura turut mempengaruhi harga barangan, perkhidmatan dan perumahan.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Mazlan Ali. - Foto Fail

“Penduduk Johor Bahru sering menyuarakan bahawa harga barangan di bandar ini semakin mahal. Kerajaan negeri perlu menangani tekanan itu, di samping memperbanyak rumah mampu milik untuk golongan B40 dan sebahagian M40,” katanya.

Menurut Profesor Madya Mazlan, pengangkutan awam juga perlu diberi perhatian supaya pertumbuhan ekonomi negeri dapat meningkatkan kemakmuran rakyat, bukan sekadar menambah angka pelaburan.

Beliau berkata kerajaan yang mempunyai majoriti kukuh perlu memastikan limpahan JS-SEZ tidak hanya tertumpu di Johor Bahru atau dinikmati golongan berada, pemodal dan pemaju.

“Pembangunan mesti diperluas ke daerah lain, terutama kawasan luar bandar. Kerajaan perlu memastikan aliran kemajuan berlaku secara lebih merata supaya jurang antara golongan berpendapatan rendah dengan golongan kaya tidak semakin melebar,” katanya.

Profesor Madya Mazlan berkata Johor perlu meningkatkan kemahiran anak tempatan supaya mereka dapat mengisi jawatan bergaji tinggi dalam pusat data, kecerdasan buatan dan sektor teknologi bernilai tinggi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama penerima-penerima Sijil Layak Menduduki Rumah Mampu Milik Johor di Johor Bahru.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah) bersama penerima-penerima Sijil Layak Menduduki Rumah Mampu Milik Johor di Johor Bahru. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

“Anak Johor mesti diberikan peluang memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Jika tidak, mereka hanya akan menjadi tenaga sokongan atau pekerja kurang mahir sedangkan jawatan penting diisi tenaga dari luar,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian kesesakan antara Johor dengan Singapura, pembaikan pengangkutan awam dan penyediaan rumah mampu milik penting bagi memastikan rakyat tempatan benar-benar menikmati limpahan ekonomi rentas sempadan.

“Ramai rakyat berulang-alik antara Johor dengan Singapura dan kesesakan memberi kesan kepada masa, tenaga serta mutu kehidupan mereka. Usaha mengurangkan kesesakan perlu bergerak seiring dengan penyediaan pengangkutan awam yang mudah dicapai,” katanya.

Profesor Madya Mazlan menambah bahawa kejayaan kerajaan juga perlu dilihat melalui kemampuan mengurangkan jurang pembangunan antara selatan Johor dengan kawasan seperti Segamat, Mersing, Kluang dan Batu Pahat.

Utamakan keterjaminan makanan

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kerajaan negeri kini tidak lagi boleh menjadikan kekangan politik sebagai alasan jika kebajikan rakyat gagal ditingkatkan.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain. - Foto Fail

“Mandat besar datang bersama tanggungjawab yang besar. Keutamaan bukanlah projek raksasa yang gah, tetapi menangani kos sara hidup dan memperkukuh keselamatan ekonomi rakyat,” katanya.

Profesor Mohd Izani berkata kuasa beli tinggi pengunjung dari Singapura boleh menaikkan harga makanan, perkhidmatan dan hartanah di bandar utama Johor, sedangkan penduduk tempatan menerima pendapatan dalam ringgit.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri memperkukuh jaminan bekalan makanan dengan memanfaatkan tanah pertanian terbiar, membantu rantaian bekalan tempatan dan memperluas bantuan bersasar serta jualan murah berkala.

“Rakyat menilai kerajaan melalui harga barang dapur, bil bulanan, peluang mendapatkan rumah dan kemampuan menyara keluarga. Perkara asas seperti ini tidak boleh tenggelam di sebalik pengumuman pelaburan yang besar,” katanya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan), memerhatikan orang awam membeli cili pada Program Bantuan Barang Dapur Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (dua dari kanan), memerhatikan orang awam membeli cili pada Program Bantuan Barang Dapur Majlis Agama Islam Negeri Johor. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Dalam memastikan manfaat JS-SEZ dinikmati lebih ramai, beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana Johor perlu dimasukkan dalam rantaian bekalan syarikat besar yang beroperasi di zon berkenaan.

“Syarikat besar boleh diwajibkan mendapatkan sebahagian perkhidmatan pengangkutan barang, bahan mentah dan penyelenggaraan daripada pembekal tempatan. Hasil cukai atau levi pula perlu digunakan untuk menaik taraf sekolah luar bandar, hospital awam dan kemudahan masyarakat,” katanya.

Profesor Mohd Izani turut mengingatkan bahawa pusat data merupakan perusahaan yang menggunakan modal besar tetapi tidak semestinya menawarkan banyak pekerjaan selepas pembinaannya selesai.

Justeru, katanya, Universiti Teknologi Malaysia, politeknik dan kolej masyarakat perlu menawarkan latihan kecerdasan buatan serta sains data yang menepati keperluan perusahaan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata syarikat asing juga wajar diwajibkan menyediakan rancangan menggantikan tenaga pakar luar dengan tenaga profesional tempatan secara berperingkat, di samping membiayai latihan peningkatan kemahiran.

“Johor perlu membina kumpulan pekerja mahirnya sendiri. Pelaburan teknologi hanya benar-benar bermakna apabila anak tempatan menerima gaji yang lebih baik dan mampu membina kerjaya di negeri sendiri,” katanya.

Mengenai penanda aras kejayaan, ketiga-tiga penganalisis sepakat bahawa jumlah pelaburan dan pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika meninjau keadaan trafik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika meninjau keadaan trafik di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru. - Foto FACEBOOK ONN HAFIZ GHAZI

Mereka berkata pencapaian kerajaan Johor dalam tempoh lima tahun akan datang perlu diukur melalui kenaikan pendapatan isi rumah, jumlah anak tempatan dalam pekerjaan bernilai tinggi, bilangan rumah mampu milik yang benar-benar diserahkan, pengurangan masa menunggu di pintu sempadan dan kemajuan lebih seimbang di seluruh negeri.