Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mangsa bot hanyut: Hanya nampak banyak kapal kargo selepas 2 kali laung azan

Dec 23, 2024 | 2:24 PM
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penolong Pesuruhjaya Sazalee Adam berbual dengan Encik Muhammad Ikmal Hakimi Ismail (kanan) dan Encik Nor Hazrul Abdullah (tiga dari kiri) yang ditemukan selamat di perairan Aceh, Indonesia, pada 22 Disember dan tiba di Pulau Pinang  dengan menaiki kapal maritim.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penolong Pesuruhjaya Sazalee Adam berbual dengan Encik Muhammad Ikmal Hakimi Ismail (kanan) dan Encik Nor Hazrul Abdullah (tiga dari kiri) yang ditemukan selamat di perairan Aceh, Indonesia, pada 22 Disember dan tiba di Pulau Pinang dengan menaiki kapal maritim. - Foto BERNAMA

BAYAN LEPAS (Pulau Pinang): “Kami hampir putus harapan dan hanya sebut akan mati namun selepas dua kali laung azan, saya nampak banyak kapal kargo berhampiran kami.

“Ketika itu saya fikir kami masih berada di perairan Pulau Pinang sebelum menyedari ia adalah sempadan negara jiran selepas diberitahu nelayan yang menyelamatkan kami.”

Demikian kata Encik Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22 tahun, mengenai kejadian yang menimpa mereka selepas bot dinaiki bersama Encik Nor Hasrul Abdullah, 25 tahun, hanyut ke sempadan negara jiran.

Encik Muhammad Ikmal berkata sebaik diselamatkan pagi 22 Disember, mereka berpelukan dan menangis, menganggap ia bagaikan ‘peluang kedua’ untuk hidup.

Katanya, sepanjang berada di perairan negara jiran, mereka berdua menerima layanan baik.

“Hanya wajah ibu bapa yang berlegar di fikiran dan tidak sabar mahu bertemu mereka sebelum kami dibawa menaiki kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam (22 Disember),” katanya ketika ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang, pada 23 Disember.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Barat Daya, Penolong Pesuruhjaya Sazalee Adam dan Timbalan Pengarah Maritim Malaysia Komander Maritim Nak Rong Si Prom.

Sebelum ini media melaporkan dua rakan itu dikhuatiri hilang pada 17 Disember lalu, selepas bot yang dinaiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, di sini, berikutan mengalami masalah enjin.

Menceritakan kejadian itu, Encik Muhammad Ikmal berkata mereka ke laut pada 3 petang bagi mengambil pukat namun bot mereka mengalami masalah enjin sebelum menghubungi tekong yang bertugas di pangkalan bagi meminta bantuan kira-kira 6 petang.

Keadaan ribut menjelang tengah malam menyebabkan bot berkenaan dimasuki air dan adakalanya mereka bersembunyi di bawah pukat kerana terlalu takut.

Mereka kemudian menunggu bantuan sehingga bateri telefon bimbit kehabisan namun tidak sesekali menanggalkan jaket keselamatan.

“Bekalan biskut dan nasi yang dibawa kehabisan menyebabkan kami berpuasa selama tiga hari.

“Keesokannya, kami sangat lapar sebelum makan ikan kembung dan cencaru yang ditangkap bagi mengalas perut serta minum air laut.

“Malah kami beberapa kali muntah selepas telan ikan mentah itu namun terpaksa juga bagi ‘menyambung nyawa’ sehingga menangis dan menganggap sudah tiada harapan untuk diselamatkan,” katanya.

Bagi Encik Nor Hasrul, ini kali pertama beliau hanyut di lautan sepanjang hampir dua tahun berpengalaman turun ke laut.

Kedua-dua mereka ditemukan nelayan di kawasan sempadan berhampiran Aceh, Indonesia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg