Mantan menteri antara dipanggil SPRM untuk siasatan penyelewengan perjanjian mega RM1.1b
Mantan menteri antara dipanggil SPRM untuk siasatan penyelewengan perjanjian mega RM1.1b
12 saksi dari pelbagai agensi kerajaan telah dipanggil beri keterangan
PUTRAJAYA: Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion ($360 juta) kini memasuki fasa penting apabila seorang mantan menteri dan seorang ketua setiausaha (KSU) kementerian antara 12 individu yang telah dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata kesemua saksi berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan yang melibatkan beberapa agensi kerajaan.
“Kita telah memanggil 12 orang saksi daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan agensi lain.
“Dokumen penting telah kita peroleh daripada agensi berkaitan dan kita juga meneliti pembentangan kertas Kabinet dalam perkara ini,” katanya pada sidang media perkembangan siasatan kes SPRM di Putrajaya, pada 4 Mac, lapor Berita RTM.
Tan Sri Azam tidak menamakan mantan menteri itu, bagaimanapun daripada maklumat yang diperolehi, individu terbabit ialah mantan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ahli Parlimen (AP) Pandan (Kuala Lumpur), Datuk Seri Rafizi Ramli, ketika itu pula merupakan Menteri Ekonomi Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Tan Sri Azam berkata seorang individu yang dipercayai berada di Britain kini dikehendaki bagi membantu siasatan SPRM, namun setakat ini belum memberi maklum balas.
Sementara itu Berita Harian Malaysia melaporkan, Setiausaha Akhbar Datuk Rafizi, Encik Mohamed Farhan Akmal Mohd Iqbal, mengesahkan AP Pandan itu belum menerima sebarang notis untuk memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan berkait perjanjian mega RM1.1 bilion itu.
“Saya sudah maklumkan, bukan Rafizi dipanggil (untuk beri keterangan kepada SPRM). Beliau tidak terima sebarang notis untuk memberi keterangan dan sebarang berita mendakwa sebaliknya adalah berita palsu,” katanya.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Datuk Rafizi sebagai mantan Menteri Ekonomi dikaitkan dengan perjanjian mega kementerian berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion di antara Kerajaan Malaysia dengan syarikat asing.
Dalam pada itu, selepas menjadi buruan SPRM, penganalisis politik, Encik James Chai, yang kini bekerja di Britain, tampil mendakwa tidak mempunyai kaitan dengan dakwaan salah guna kuasa dikaitkan dengan bekas majikannya.
Beliau, yang juga mantan Pegawai Tugas-Tugas Khas Datuk Rafizi ketika di Kementerian Ekonomi, menempelak SPRM selepas mendakwa suruhanjaya itu memberi gambaran kononnya beliau sedang bersembunyi bagi mengelak daripada disiasat.
“Saya tidak bersembunyi, sebaliknya kini bekerja dalam bidang risiko kecerdasan buatan (AI) serta dasar pengawalseliaan di Britain,” katanya dalam kenyataan yang turut melampirkan semua platform media sosialnya.
Encik Chai mendakwa beliau terpalit dalam dakwaan salah guna kuasa itu hanya kerana terlibat dalam penganjuran persidangan teknologi KL20 pada April 2024.
Persidangan itu menampilkan pelbagai tokoh teknologi serta syarikat pemula antarabangsa dan tempatan termasuk Arm Limited, syarikat asal Britain yang dalam siasatan SPRM, sebagai penceramah jemputan bagi sesi semikonduktor.

