Mantan menteri M’sia Rafizi nafi terbabit kes rasuah RM2.5b
Mantan menteri M’sia Rafizi nafi terbabit kes rasuah RM2.5b
Sangkal penganugerahan kontrak kepada syarikat yang didakwa berkait dengan beliau
KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli, menafikan penglibatannya dalam kes rasuah bernilai RM2.5 bilion ($810 juta) yang mengaitkan penganugerahan kontrak kepada syarikat yang didakwa berkait dengan beliau.
Datuk Rafizi, Ahli Parlimen Pandan (Kuala Lumpur), menjelaskan bahawa tuduhan tersebut hanyalah fitnah yang disebarkan oleh pempengaruh Ariz Ramli, atau lebih dikenali sebagai Caprice.
Beliau dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) membabitkan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.
“Saya dituduh menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat yang kononnya berkait dengan saya...ini menjadi satu lagi bahan fitnah yang dijaja oleh Caprice dan diulang oleh pihak-pihak yang cuba memburukkan nama, kononnya Rafizi terbabit kes rasuah RM2.5 bilion,” katanya, menurut laporan Berita Harian Malaysia.
Klip video penjelasan Datuk Rafizi yang juga mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut dimuatnaik semula oleh Caprice di laman sosial Instagramnya, pada 20 Februari.
Sebelum ini, Datuk Rafizi memperincikan bahawa pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra dalam projek NETR adalah inisiatif pihak swasta sepenuhnya dan tidak membabitkan dana awam atau perolehan kerajaan.
Beliau turut menafikan dakwaan pembabitan kepentingan peribadi dalam projek tersebut dan menyifatkan serangan pempengaruh media sosial itu sebagai fitnah terancang yang sengaja direka.
Datuk Rafizi juga menuduh Caprice menghasilkan kandungan yang mendakwa bahawa beliau telah menganugerahkan projek UEM Lestra kepada sebuah syarikat yang mana beliau mempunyai kepentingan.
Dalam pada itu, Datuk Rafizi dijadual akan menjawab secara terperinci dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengan dirinya itu dalam program audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) pada 10 malam, 20 Februari.
Sementara itu, Caprice melalui komen dalam video yang dimuat naik semula itu mempersoalkan semula tuduhan yang dibuat Datuk Rafizi terhadap dirinya.
“Salam Ramadan Rafizi, kalau nak twist tunggu lah selepas bulan puasa...sejak bila Cap (Caprice) tuduh Raf (Rafizi) terbabit kes rasuah RM2.5 billion?? tuduhan berat ini,” katanya.
Terdahulu pada 17 Februari, Datuk Rafizi menegaskan kesediaan beliau untuk berdepan dengan sebarang siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah yang mengaitkan dua dasar utama kerajaan semasa beliau menerajui Kementerian Ekonomi.
Beliau menyifatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai satu intimidasi susulan tuntutannya agar Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang dipalit kontroversi pemilikan saham, digantung tugas.
“Saya mengalu-alukan siasatan oleh mana-mana pihak kerana saya tahu tiada salah laku berlaku di peringkat saya atau Kementerian Ekonomi.
“Tuduhan ini menggambarkan kononnya berlaku penyelewengan dalam Program Visi Silikon membabitkan kerjasama dengan ARM, serta Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR), pelaburan industri hijau,” katanya dalam kenyataan.

