Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr Adham Baba, memberi tumpuan kepada usaha memastikan pengundi tidak keliru dengan pertukaran pusat mengundi apabila memperhebat penggunaan risalah digital pada minggu terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mantan Menteri Kesihatan Malaysia itu berkata langkah berkenaan penting susulan pertukaran lokasi mengundi yang membabitkan kira-kira 5,000 pengundi di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Pasir Raja dan Panti.

Beliau berkata risalah digital akan disalurkan terus kepada pengundi bagi memaklumkan saluran mengundi, lokasi pusat mengundi dan sebarang perubahan yang berlaku supaya mereka tidak tersalah tempat pada hari pengundian.

“Kita sudah selesai mengedarkan risalah fizikal dan pada minggu kedua ini kita akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada risalah digital.

“Kami mahu memastikan pengundi tahu saluran mengundi dan sekolah tempat mereka mengundi kerana berlaku pertukaran di beberapa PDM.

“Kami tidak mahu mereka datang ke pusat mengundi tetapi nama tiada kerana berpindah ke lokasi lain,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Datuk Dr Adham berkata perubahan itu membabitkan beberapa PDM di Pasir Raja dan Panti yang memerlukan maklumat disampaikan lebih awal bagi mengelakkan kekeliruan.

Pada masa sama, beliau berkata tumpuan kempen minggu terakhir adalah memperbanyakkan pertemuan secara bersemuka dengan pengundi di samping mempertingkatkan mutu program kempen.

“Kami mahu program bukan sekadar dihadiri jentera, tetapi pengundi sasaran supaya mesej dapat disampaikan secara terus,” katanya.

Datuk Dr Adham, yang juga Ketua Umno Bahagian Tenggara, berkata persiapan jentera pilihan raya sebenarnya bermula sejurus Dewan Negeri Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.

Beliau, yang turut bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi DUN Pasir Raja dan Panti, berkata semua 26 PDM di kedua-dua kawasan itu telah dilawati sebelum penamaan calon bagi menyelaras gerak kerja kempen.

Menurutnya, minggu pertama kempen memberi tumpuan kepada pemasangan bahan kempen seperti bendera, poster, banting, risalah dan lencana bagi mewujudkan suasana pilihan raya.

“Kami lihat ramai pengundi menegur suasana kempen kurang meriah pada peringkat awal, sebab itu kami memperhebat pemasangan bahan kempen pada penghujung minggu pertama,” katanya.

Mengulas sambutan diterima, Datuk Dr Adham berkata beliau tidak mahu terlalu yakin meskipun lebih 3,000 sukarelawan tampil membantu gerak kerja kempen di kedua-dua DUN.

Katanya, sukarelawan terbabit akan memainkan peranan penting pada hari mengundi termasuk sebagai ejen mengundi dan ejen pengiraan undi, selain membantu membawa pengundi keluar mengundi.

“Saya tidak mahu terlalu yakin, tetapi saya melihat sambutan terhadap jentera sangat baik dan mereka bersedia membantu sehingga hari mengundi,” katanya.

Datuk Dr Adham berkata antara isu yang sering dibangkitkan pengundi muda ialah peluang pekerjaan, perumahan mampu milik dan prospek pembangunan Johor, manakala pengundi berusia pula lebih memberi perhatian kepada mutu perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

Pada PRN Johor kali ini, Datuk Dr Adham, yang membuat kemunculan semula dalam arena politik selepas tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15, berdepan saingan tiga penjuru menentang Encik Mohd Fakharuddin Moslim daripada Pakatan Harapan (PH), dan Cik Yuhanita Yunan daripada Perikatan Nasional (PN).