Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Menteri Kesihatan mahu limpahan JS-SEZ turut dinikmati utara Johor
Mantan Menteri Kesihatan mahu limpahan JS-SEZ turut dinikmati utara Johor
Mantan Menteri Kesihatan mahu limpahan JS-SEZ turut dinikmati utara Johor
JOHOR BAHRU: Mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Adham Baba, mahu limpahan pembangunan hasil Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) diperluaskan sehingga ke utara Johor bagi memastikan kemajuan negeri itu dapat dinikmati secara lebih seimbang.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja itu berkata pembangunan yang dirancang menerusi agenda Maju Johor 2030 tidak seharusnya hanya tertumpu di bahagian selatan negeri itu, sebaliknya perlu memberi manfaat kepada semua daerah.
“Kita di Johor Selatan menerima banyak manfaat daripada JS-SEZ. Namun kita mahu limpahan pembangunan itu turut sampai ke utara Johor bagi memastikan semua kawasan menikmati kemajuan yang sama,” katanya selepas diumumkan sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Ibu Pejabat Umno Johor, pada 24 Jun.
Beliau berkata pengalaman lebih tiga dekad dalam pentadbiran kerajaan akan dimanfaatkan bagi membantu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, merealisasikan agenda pembangunan negeri itu.
“Saya ingin membantu dan bersama-sama menjayakan misi Maju Johor 2030. Dengan pengalaman yang saya miliki, saya yakin dapat memainkan peranan untuk memajukan Johor serta menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi rakyat,” katanya.
Datuk Adham turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta kepimpinan Umno Johor kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk kembali bertanding.
Beliau berkata gabungan calon berpengalaman dan muka baharu yang diketengahkan BN diyakini mampu memperkukuh usaha membangunkan Johor.
“Terima kasih kepada kepimpinan parti kerana mengetengahkan gabungan calon berpengalaman dan calon muda bagi menjayakan misi Maju Johor 2030. Saya yakin kombinasi ini akan mengukuhkan lagi usaha pembangunan negeri,” katanya.
Menurutnya, manifesto BN yang akan dilancarkan nanti dijangka memberi tumpuan kepada pelaksanaan menyeluruh agenda Maju Johor 2030 sebagai kesinambungan manifesto pilihan raya negeri itu pada 2022.
Mengulas cabaran pilihan raya, beliau berkata kejayaan calon banyak bergantung kepada keupayaan mendekati pengundi dan memahami keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Siapa yang lebih kuat berkempen dan mampu bertemu seramai mungkin pengundi akan mempunyai kelebihan dalam pilihan raya ini,” katanya.
Datuk Adham, yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja selama dua penggal serta Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal, berkata beliau masih mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
“Saya mengenali kawasan ini dengan baik kerana sudah lama berkhidmat di sini. Susah senang masyarakat, saya sentiasa bersama mereka,” katanya.
Beliau berkata antara pencapaian yang paling dibanggakan sepanjang menjadi wakil rakyat ialah usaha memartabatkan pendidikan tinggi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, beliau pernah mencadangkan penubuhan universiti di Johor yang akhirnya membawa kepada pembangunan Kolej Yayasan Pelajaran Johor sehingga berkembang menjadi sebuah universiti.
Selain itu, beliau berkata usaha membawa masuk Institut Kemahiran Johor (Skills Johor) ke kawasan Ladang Yayasan turut menjadi antara agenda pembangunan modal insan yang berjaya direalisasikan.
“Agenda memperkasakan pendidikan tinggi dan latihan kemahiran sentiasa dekat di hati saya kerana ia membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
