KUALA LUMPUR: Jika diukur pada harga dan nilai sentimental, jam tangan Rolex yang dihadiahkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, tentunya sangat berharga dan menjadi kenangan paling bererti baginya.
Namun, atas keprihatinan tinggi dan kasih sayang terhadap saudara seagama di Palestin yang menjadi mangsa perang Israel, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ‘berkorban’ dengan melelong jam tangan mewah berkenaan sejak Isnin.
Sehingga 9.35 malam pada Isnin, jam tangan berkenaan telah merekodkan nilai bidaan RM130,000 ($37,309) dan jumlah muktamad yang diperoleh tepat 12 tengah malam Selasa akan disalurkan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin.
“Harga tapak bermula pada RM40,000. Kenaikan bermula RM100 ke atas dan bidaan akan ditutup 12 tengah malam, 31 Oktober 2023,” katanya lapor Berita Harian Malaysia pada Selasa.
Datuk Dr Zulkifli berkata keputusan melelong jam tangan mewah itu juga sebagai tanda menjunjung kasih Al-Malik Salman yang mahu umat Islam sentiasa bersederhana, mengutamakan perpaduan ummah dan memartabatkan agama.
“Dengan menjunjung titah itu dan meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan berbilion dolar kepada Palestin saban tahun, saya membuka bidaan jam Rolex kesayangan ini dengan harga tapak RM40,000,” katanya.
Mengimbau kisah pemberian hadiah jam tangan berkenaan oleh Raja Salman, Datuk Dr Zulkifli berkata ia diterima pada Februari 2017 ketika bertugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, namun ia hanya dibuka pada 2021.
Kata Datuk Dr Zulkifli, kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila beliau mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
“Saya diminta kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua mufti dan ulama Malaysia menyampaikan ucapan di hadapan Raja Salman dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.
“Beberapa hari selepas majlis itu, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia mengenai hadiah berkenaan dan meminta pegawai untuk mengambilnya.
“Bagaimanapun saya tidak buka kotak cenderamata itu. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri dan apabila meletak jawatan sebagai Menteri pada 2021, barulah saya membukanya,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg