Episod siasatan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan bekas pegawai kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kian hangat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan dan menyerbu kediaman ahli perniagaan yang membuat dakwaan skandal itu, Encik Albert Tei.
Mantan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang didakwa menerima lebih RM600,000 ($188,113) daripada Encik Tei menerusi pelbagai perbelanjaan, juga telah hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada 28 November.
Portal berita Malaysiakini melaporkan, Encik Zaid Malik, peguam kepada Encik Tei mengesahkan ahli perniagaan itu ditahan dalam keadaan bergari selepas rumahnya di Puchong, Selangor, diserbu sekumpulan pegawai SPRM yang lengkap berpenutup muka dan berpakaian kalis peluru pada pagi 28 November.
Encik Zaid dilaporkan cuba berkomunikasi dengan pegawai SPRM yang terlibat, namun tidak diendahkan, sekali gus menimbulkan pertikaian bagaimana SPRM boleh menahan pemberi maklumat dakwaan rasuah tanpa kehadiran peguamnya.
Ahli perniagaan itu awalnya dijadualkan memberi keterangan kepada SPRM pada 1 Disember.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai SPRM telah membuat laporan polis menyusuli sebuah klip video yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Pejuang Tun Dr Mahathir’, yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Dalam kenyataan pada 27 November, SPRM berkata laporan itu difailkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berikutan kandungan video perbualan antara seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan Encik Tei.
Menurut SPRM, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat dakwaan dalam video itu, termasuk tuduhan bahawa seorang individu telah menemui Tan Sri Azam untuk meminta supaya kes membabitkan Encik Tei ‘diselesaikan’.
SPRM menambah bahawa pegawai berkenaan turut menyatakan dalam laporan polisnya bahawa klip video itu berunsur fitnah dan berniat jahat untuk menjejaskan reputasi Tan Sri Azam, sedangkan siasatan agensi tersebut dilaksanakan secara profesional, telus dan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Terdahulu, wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong itu dilaporkan sudah memberi keterangan kepada SPRM pada 27 November dan kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut kes berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga 4 petang 28 November, belum ada pengesahan daripada SPRM mengenai penahanan reman wanita itu.
Sofia Rini Buyong yang telah hadir memberi keterangan di SPRM Putrajaya dilapor telah menafikan segala dakwaan Encik Tei mengenai skandal rasuah berkenaan.
Ini termasuk dakwaan penglibatan Datuk Anwar yang dikatakan memberi ‘lampu hijau’ untuk Encik Tei merancang skandal sogokan rasuah lesen perlombongan membabitkan ahli politik di Sabah.
Datuk Shamsul Iskandar pada 25 November telah meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Datuk Anwar, menyusuli pendedahan Encik Tei, selain kontroversi surat sokongan dikeluarkannya untuk kontraktor yang membida projek kerajaan pada 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg