Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPRM siasat taikun S’pura dalam skandal lombong mineral di Sabah

Jul 3, 2025 | 12:40 PM
lombong mineral, sabah, taikun, s’pura
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (kanan) dan Datuk Yusof Yacob (tengah) bersama ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing, didakwa atas tuduhan rasuah berkait skandal perlombongan di Sabah.  - Foto fail NSTP

KOTA KINABALU (Sabah): Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap seorang taikun dari Singapura berkait kes skandal rasuah perlombongan di Sabah.

Menurut sumber, siasatan itu susulan penyiaran satu artikel di sebuah portal yang merujuk seorang taikun dari Singapura dikatakan bertindak sebagai pembiaya kepada individu yang didakwa sebagai pemberi maklumat dalam skandal rasuah di Sabah itu.

“SPRM telah memulakan siasatan untuk mengesahkan maklumat tersebut,” kata sumber, lapor Astro Awani.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan SPRM akan memanggil saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, sebuah portal menggesa SPRM menjalankan siasatan pembabitan pemimpin utama Umno Sabah dalam jaringan kartel lesen dan konsesi cari gali mineral di Sabah, dengan dalangnya dikatakan disokong dana dari luar negara.

Portal itu mendakwa ‘pemberi maklumat’ dikenali sebagai Datuk Albert Tei tidak bertindak bersendirian, yang mana beliau dipercayai dibiayai seorang taikun dari Singapura yang memiliki syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX), yang juga terbabit dalam operasi perlombongan bijih besi di Johor.

Menurut media Malaysia yang memetik laporan di portal berkenaan, dana tersebut bukan saja digunakan untuk tujuan melobi kelulusan lesen di Sabah, malah bagi membiayai kempen naratif awam yang menggambarkan Datuk Albert Tei sebagai pejuang kewibawaan dalam isu berkaitan sumber asli, namun menjadi mangsa tekanan politik.

Media Malaysia pada 30 Jun melaporkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan rasuah di Mahkamah Rasuah Khas Kota Kinabalu, Sabah.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta Datuk Tei Jiann Cheing atau dikenali sebagai Albert Tei mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga, selepas tuduhan dibacakan terhadap mereka.

Menurut tuduhan, Datuk Yusof, 69 tahun, dan Datuk Andi Muhammad, 44 tahun, didakwa menerima suapan daripada Datuk Tei, 37 tahun, berhubung pengurusan lesen cari gali mineral membabitkan dua syarikat rakan kongsinya.

Keseluruhan wang sogokan terbabit berjumlah RM350,000 ($105,571) dan wang tersebut sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat bagi mendapatkan lesen untuk cari gali mineral di Sabah.

Sementara Datuk Tei pula didakwa atas tuduhan memberikan suapan kepada kedua-dua Adun berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg