Jabatan Peguam Negara (AGC) Malaysia menegaskan bahawa proses pelantikan dalam badan kehakiman negara itu, terutama bagi jawatan Ketua Hakim Malaysia ketika ini, dilaksanakan sepenuhnya mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan polemik politik oleh mana-mana pihak.
Dalam kenyataan pada 8 Julai, AGC juga menegaskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi menyiasat dakwaan ketidakteraturan dalam pelantikan kehakiman adalah tidak perlu, kerana keadaan itu tidak mencapai tahap krisis Perlembagaan.
Kenyataan itu juga menjelaskan Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ (saluran untuk melindungi) yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman.
“Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan (pengganti hakim) terdahulu hendaklah dilihat daripada sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya. Namun hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya perjalanan kuasa oleh Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.
“Kededua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan satu krisis perlembagaan. Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” jelas AGC.
Kenyataan itu bagi mengulas dakwaan sekumpulan Ahli Parlimen (AP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 7 Julai, mengenai ketidakteraturan dan kontroversi dalam pelantikan dalam badan kehakiman Malaysia, termasuk jawatan Ketua Hakim Negara.
Mantan Menteri Ekonomi yang juga AP Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mengetuai kumpulan itu menggesa penubuhan RCI, selain memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipanggil Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi menjelaskan isu itu.
Datuk Rafizi berkata gesaan itu didorong kebimbangan melihat kemelut institusi kehakiman sekarang mirip kepada skandal video peguam VK Lingam, pada 2007, iaitu cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes mahkamah.
Menjawab dakwaan itu, AGC berkata perbandingan dengan kes peguam VK Lingam pada 2007 adalah satu perkara yang tidak wajar pada peringkat ini.
“Kes tersebut melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga RCI ditubuhkan pada ketika itu.
“Keadaan tersebut adalah berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan daripada aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” kata AGC.
Jelas AGC, jabatan itu dimaklumkan bahawa Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada Jun lalu dan pelantikan tersebut masih perlu melalui beberapa formaliti.
Menjawab dakwaan kelemahan prosedur, termasuk mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi, AGC berkata suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk mengawal selia prosedurnya sendiri.
Pelantikan hakim mahkamah atasan jelas AGC telah diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hakim hendaklah dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“
“Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan satu krisis perlembagaan. Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg