Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Serangan terhadap anak Rafizi cetus perpaduan rentas parti

Aug 15, 2025 | 2:37 PM
Izzah, PKR, Rafizi
Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, dan Ahli Parlimen (AP) Pandan merangkap mantan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli. - Foto fail

Pemimpin politik merentasi parti dan rakyat Malaysia melaungkan sokongan moral terhadap mantan Menteri Ekonomi Malaysia, Datuk Seri Rafizi Ramli, susulan kejadian serangan dan ugutan terhadap keluarganya pada 13 Ogos.

Antara yang lantang mengecam tindakan itu ialah Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar, yang menyifatkan kejadian tersebut sebagai jenayah keji dan melampau serta melanggar prinsip asas kemanusiaan.

Walaupun pernah ‘berseteru’ dengan mantan Timbalan Presiden PKR itu, Cik Nurul Izzah, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan segera bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Tiada kanak-kanak yang sepatutnya didedahkan kepada bahaya sedemikian. Sebagai seorang insan dan seorang ibu, saya memahami kegusaran serta tekanan yang sedang ditanggung oleh Saudara Rafizi dan keluarganya.

“Politik mungkin medan pertarungan idea dan pandangan, tetapi keselamatan kanak-kanak dan keluarga tidak wajar sekali-kali dijadikan alat tawar-menawar atau bahan ugutan,” katanya satu dalam kenyataan.

Cik Nurul Izzah dan Datuk Rafizi pernah berdepan ‘konflik’ dalam saingan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada Mei lalu – yang turut mencetuskan pergolakan politik dalaman parti itu. 

“Tiada sesiapa pun yang seharusnya dijadikan sasaran atau mangsa dalam permainan politik, dalam apa jua bentuk sekalipun.

“Kita mengecam mereka yang sanggup menggunakan kekerasan, keganasan dan intimidasi demi mencapai tujuan mereka,” ujar Cik Nurul Izzah.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PN mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak Datuk Rafizi yang juga Ahli Parlimen (AP) Pandan dan menyifatkan serangan itu menandakan satu perkembangan gelap dalam landskap politik Malaysia.

“Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman dan keganasan fizikal, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak,” kata Datuk Takiyuddin dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang pada 13 Ogos ketika isteri dan anak Datuk Rafizi memasuki kereta untuk meninggalkan sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, seorang lelaki mengheret anak lelakinya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.

Menyusuli kejadian, isteri Datuk Rafizi turut menerima dua mesej ugutan berbunyi ‘diam, jika teruskan, Aids.’

Datuk Rafizi percaya serangan dan ugutan itu sebagai cubaan untuk menutup mulutnya sebagai ahli politik yang sedang menyiasat satu skandal melibatkan jumlah wang yang besar.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, meluahkan rasa amat sedih, terkejut dan marah menerima berita serangan itu dan mendoakan keselamatan keluarga Datuk Rafizi.

“Sebagai seorang bapa dengan anak-anak yang hampir sama usia anak saudara Rafizi Ramli, saya juga amat risau mengenai keselamatan keluarga.

“Saya mendoakan Ben (anak Rafizi) cepat sembuh, semoga Allah beri keselamatan kepada saudara Rafizi sekeluarga, dan semoga penyerang-penyerang ini segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg