KUALA LUMPUR: Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengadakan solat hajat dan doa selamat pada 11 Februari, bagi mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata solat hajat itu akan diadakan selepas solat maghrib pada 11 Februari.
“Umat Islam dimohon untuk bersama-sama ke masjid atau surau berkenaan bagi mendoakan Sultan Ibrahim agar dikurniakan kesejahteraan, kesembuhan dan keafiatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Februari, lapor portal berita, Buletin TV3.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan Sultan Ibrahim berlepas ke luar negara untuk menjalani rawatan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan rawatan yang akan dijalani Sultan Ibrahim.
Sebelum ini media Malaysia melaporkan perkara itu telah dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan Persekutuan.
“Seluruh rakyat diminta mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” menurut kenyataan Istana Negara pada 7 Februari.
Turut mengiringi Sultan Ibrahim ialah dua puteranya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Encik Fahmi Fadzil, sebelum ini berkata seluruh jemaah Menteri mendoakan Sultan Ibrahim dikurniakan kesembuhan dan selamat menerima rawatan perubatan di luar negara.
Beliau berkata panduan Perlembagaan akan dilaksanakan untuk tugas rasmi sepanjang ketiadaan Agong ke-17 itu di Malaysia.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, turut memohon semua rakyat Johor mendoakan kesembuhan dan kesihatan Sultan Ibrahim berpanjangan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg