Masyarakat Sabah yang menetap di Johor diyakini akan terus memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan maklum balas positif yang diterimanya sepanjang turun berkempen bersama masyarakat Sabah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas.

Menurutnya, Umno Sabah diamanahkan membantu gerak kerja kempen di DUN Permas dan Johor Jaya, dengan tumpuan utama diberikan kepada Permas yang disandang BN.

“Saya melihat sokongan masyarakat Sabah di sini amat baik. Dengan kerja keras jentera parti, saya yakin BN mampu mempertahankan kerusi DUN Permas pada 11 Julai nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas menghadiri Program Gerakan Masyarakat Desa di Taman Cendana, Pasir Gudang, pada 8 Julai.

Datuk Jafry yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata terdapat kira-kira 380 pengundi berasal dari Sabah yang mengundi di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Cendana.

Manakala jumlah masyarakat Sabah yang menetap di dua DUN Permas dianggarkan mencecah hampir 13,000 orang.

Beliau berkata kehadiran masyarakat Sabah yang sudah lama bermastautin di Johor, termasuk generasi kedua mereka, diterima dengan baik oleh kerajaan negeri.

“Saya menerima maklum balas bahawa masyarakat Sabah di sini turut menikmati pelbagai manfaat yang disediakan kerajaan negeri seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) serta peluang memiliki rumah.

“Mereka merasakan layanan yang diterima adalah sama seperti rakyat Johor yang lain dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana menerima masyarakat Sabah dengan baik,” katanya.

Beliau berkata sebahagian masyarakat Sabah turut berjaya memiliki kediaman menerusi skim perumahan yang disediakan kerajaan negeri, termasuk projek sewa dan beli.

Pada masa sama, Datuk Jafry berkata pencapaian ekonomi Johor di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menjadi faktor penting yang meyakinkan pengundi untuk terus menyokong BN.

Katanya, Johor kini muncul antara negeri yang mencatat prestasi terbaik dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

“Semua ini berjaya dicapai hasil kepimpinan yang bijaksana serta perancangan yang tersusun oleh kerajaan negeri.

“Sebab itu saya berharap semua pengundi terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional dan calon BN di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat Sabah yang layak mengundi supaya menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian bagi memastikan kesinambungan pembangunan Johor dapat diteruskan.