Kurang seminggu sebelum pengundi Johor menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini, suasana kempen semakin rancak dengan ‘perang bendera’ dan poster calon yang menghiasi jalan utama serta kawasan tumpuan awam.

Tinjauan Berita Harian (BH) di beberapa lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Johor Jaya mendapati jalan utama di Bandar Seri Alam, Plentong, Taman Molek dan Taman Scientex dipenuhi bendera parti yang bertanding, termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Pasir Gudang, Encik Madyasir Ahmad Basir, berkata pemasangan bendera di bawah portfolio ‘Gerak Gempur’ diterajui oleh sayap Pemuda Umno di setiap bahagian bagi menyemarakkan suasana kempen selain meningkatkan kehadiran visual parti di kawasan strategik.

“Bagi Pasir Gudang, gerak kerja ini dilaksanakan oleh Pemuda Umno Pasir Gudang dan dipecahkan kepada dua pasukan, iaitu pasukan bagi DUN Johor Jaya dan DUN Permas.

“Untuk DUN Johor Jaya sahaja, kami menguruskan kira-kira 8,000 batang buluh yang diagihkan dalam dua peringkat. Peringkat pertama kepada semua cawangan dan peringkat kedua kepada semua Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata kawasan DUN Johor Jaya mempunyai 45 cawangan Umno dan 19 PDM yang menjadi tulang belakang gerak kerja pemasangan bendera sepanjang tempoh berkempen.

Menurutnya, walaupun jumlah bendera yang dipasang tidak terlalu banyak berbanding kawasan lain, pihaknya memberi keutamaan kepada lokasi yang mampu memberi impak lebih besar.

“Kalau ikutkan jumlah itu tidaklah begitu banyak, tetapi kami fokus memasang bendera di lokasi strategik, kawasan tumpuan orang ramai dan jalan utama yang mempunyai aliran trafik tinggi supaya mesej kempen lebih mudah dilihat pengundi,” katanya.

Encik Madyasir berkata persiapan memasang bendera sebenarnya sudah dimulakan lebih awal, malah sebelum hari penamaan calon lagi.

“Kami bergerak lebih awal. Bagi Johor Jaya, saya sendiri sudah menghantar buluh ke setiap cawangan dua hari sebelum penamaan calon, iaitu pada 25 Jun, supaya jentera boleh terus memasang sebaik sahaja tempoh berkempen bermula,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara cawangan dan PDM membolehkan pemasangan bendera disiapkan dengan lebih tersusun, sekali gus mewujudkan suasana kempen yang lebih meriah di kawasan berkenaan.

PRN Johor kali ini menyaksikan tempoh berkempen selama 14 hari sebelum pengundian berlangsung pada 11 Julai, dengan semua parti bertanding giat memperkukuh kehadiran di lapangan melalui pelbagai pendekatan termasuk pemasangan bendera, poster, sesi turun padang dan ceramah politik.