KUALA LUMPUR: Percubaan dua lelaki mencuri kabel gagal apabila seorang daripada mereka ditemui maut, selepas terjatuh dari tingkat 23 sebuah pangsapuri di Kajang Utama, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Naazron Abdul Yusof, berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi pada 25 Jun itu, kededua suspek, berusia 31 dan 29 tahun, dipercayai cuba melarikan diri selepas perbuatan mereka disedari pihak keselamatan pangsapuri terbabit.
“Suspek yang berusia 29 tahun tergelincir dan terjatuh ke tingkat empat bangunan apabila cuba melompat ke aras lain, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan pada 27 Jun, lapor Astro Awani.
Seorang lagi suspek ditahan bersama enam gulung wayar tembaga serta beberapa peralatan memotong wayar kabel, dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala lelaki yang maut dikenal pasti memiliki 10 rekod jenayah lampau,” katanya, sambil menambah bahawa siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu di Marang, Terengganu, kemalangan membabitkan sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki membongkar rahsia bahawa ia kenderaan curi, sementara pemandu dan penumpangnya adalah individu dikehendaki polis.
Ketua Polis Daerah Marang, Timbalan Superintenden Mohd Razman Setapa, berkata kemalangan membabitkan sebuah pacuan empat roda dan kereta itu berlaku kira-kira 12.30 tengah hari pada 26 Jun, dekat Kampung Alor Tuman, Marang.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta itu mendapati nombor pendaftarannya adalah palsu dan kereta itu dilaporkan hilang di Bukit Raja Klang, Selangor.
Pemandu pacuan empat roda berusia 24 tahun itu tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu kereta tersebut, 27 tahun, dan dua penumpang yang berusia 28 dan 33 tahun cedera ringan.
Mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
Semakan rekod jenayah mendapati pemandu dan penumpang kereta itu mempunyai rekod berkait kes dadah dan jenayah dan ketiga-tiga mereka dikehendaki polis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg