Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat M’sia bekerja di S’pura dijangka berkurang 5 tahun lagi

Jan 9, 2025 | 11:36 AM
Gambar Koswe.
Gambar Koswe. - Foto fail

BATU PAHAT: Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dimeterai pada 7 Januari dijangka memberi manfaat besar kepada Malaysia, termasuk berkurangan rakyat Malaysia bekerja di negara luar termasuk Singapura dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Encik Mohamed Ismail KP Pakir Mohamed, berkata melalui perjanjian berkenaan dijangka banyak pemain industri dan pelabur luar akan beroperasi sekali gus memberikan impak kepada peluang pekerjaan.

Beliau yang juga Ketua Fokus Group Pengurusan Teknologi Pembuatan universiti berkenaan berkata antara sektor dalam JS-SEZ itu ialah industri minyak dan gas serta pangkalan data juga semikonduktor bakal memberi peluang pekerjaan, khususnya kepada pelajar lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bagi tempoh jangka panjang, pelajar aliran ini (TVET) akan memenuhi pasaran dan bersesuaian dengan adanya JS-SEZ, peluang pekerjaan buat mereka akan ada serta dalam masa sama, pekerja mahir dan separuh mahir dari seluruh negara akan mula tertumpu di kawasan berkenaan.

“Kita juga akan dapat lihat sekurang-kurangnya dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun, rakyat di negara ini dijangka berkurang untuk bekerja di negara luar termasuk Singapura apabila banyak syarikat atau pelabur berada di negara itu akan beroperasi di zon JS-SEZ, ia akan memberikan impak positif ekonomi negara,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Jelas Encik Mohamed Ismail, sektor lain seperti bidang pendidikan juga akan mampu berkembang pesat di zon itu dan institusi pendidikan juga tidak mahu terlepas untuk membuka cawangan mereka termasuk sekolah antarabangsa sebagaimana yang dilihat telah mula dibuka di Forest City dan Iskandar Puteri.

“Pertambahan penduduk juga dijangka meningkat, bukan sahaja dari seluruh negara tetapi pekerja mahir dari luar negara juga akan datang dan penduduk tempatan berpeluang meningkatkan ekonomi dalam perniagaan sektor makanan dan peruncitan.

“Dengan adanya JS-SEZ hubungan Malaysia dan Singapura akan lebih erat, bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi seolah-olah ‘membuka pintu’ kepada kerjasama dalam beberapa bidang lain,” ujarnya.

Malah, sektor pelancongan juga tidak terkecuali iaitu pelabur di Singapura yang mempunyai cawangan di Johor secara tidak langsung akan berkunjung ke negara ini.

JS-SEZ, projek pembangunan mega meliputi kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai dan Sedenak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg