SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam satu ceramah politik.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Aslam Zainuddin, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, berkata pihak pendakwaan mahu menarik balik dan menghentikan pertuduhan.
Datuk Muhammad Sanusi, bagaimanapun, masih berdepan tuduhan kedua, iaitu menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ahmad Shah, yang akan dibicarakan pada Februari 2025.
Ketika prosiding pada 10 Disember, Datuk Masri memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tidak bercadang meneruskan tuduhan terhadap Datuk Muhammad Sanusi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri (Kedah).
“Pihak pendakwaan dengan ini menarik balik tuduhan dan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh di dalam kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Datuk Muhammad Sanusi, Encik Awang Armadajaya Awang Mahmud, membantah perkara itu dengan menyatakan anak guamnya sepatutnya dilepas dan dibebaskan kerana pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes tersebut.
“Dalam satu doktrin, sesuatu perkara tidak boleh tergantung ke atas seseorang tanpa satu penjelasan yang muktamad, mahkamah mempunyai kuasa untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh dalam kes tersebut,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Hakim Datuk Aslam ketika membacakan keputusannya berkata mahkamah melepas dan membebaskan Datuk Muhammad Sanusi, 50 tahun, daripada tuduhan pertama.
“Bagi tuduhan kedua, mahkamah menetapkan 24 hingga 28 Februari 2025 untuk tarikh bicara,” katanya.
Datuk Muhammad Sanusi sebelum ini meminta Jabatan Peguam Negara (A-GC) menarik balik pertuduhan yang dikaitkan dengan Sultan Sharafuddin selepas beliau menerima permohonan maafnya.
Pada 18 Julai 2023, Datuk Muhammad Sanusi, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), dikenaan dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Gombak, Selangor, pada 11 Julai 2023 semasa kempen pilihan raya negeri Selangor.
Beliau telah memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Sharafuddin.
Pada September, Sultan Sharafuddin menerima permohonan ampun dan maaf Datuk Muhammad Sanusi atas nama ukhuwah sesama Muslim serta bangsa Melayu.
Semasa ditemui di pekarangan mahkamah, Datuk Muhammad Sanusi, meluahkan rasa syukur mengenai keputusan mahkamah itu.
“Lega, dan syukur dengan keputusan hari ini,” katanya.
Datuk Muhammad Sanusi berkata pihaknya akan berbincang dengan peguamnya sebelum membuat apa-apa kenyataan berkaitan perkara itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg