Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAS persila Gerakan keluar PN jika tak sehaluan

Aug 2, 2024 | 1:21 PM
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto FACEBOOK MUHAMMAD SANUSI MD NOR

ALOR SETAR (Kedah): Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak perlu mengugut akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mereka boleh meninggalkan gabungan politik itu jika sudah tiada lagi persefahaman, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Datuk Muhammad Sanusi berkata beliau bukan angkuh, tetapi hanya mengulas kenyataan ugutan yang dikeluarkan timbalan presiden Gerakan, Encik Oh Tong Keong.

Menurutnya, Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang juga parti komponen PN, bersedia berbincang mengenai kemelut yang tercetus dalam mesyuarat bulanan gabungan itu pada Ogos.

“Dia (Gerakan) yang buat kenyataan secara terbuka, ugut nak keluar PN. Sila keluar. Itu maklum balas kami.

“Dia kata kalau tak ikut pandangan mereka, Gerakan akan keluar PN. Silakan, ‘the door is there’ (pintu ada di sana). Bukan kita tolak dia keluar. Tapi, kalau dia nak keluar, pintu sentiasa ada. Boleh keluarlah, bukan tak boleh,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, Encik Oh dilaporkan berkata Gerakan tidak akan teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari, berkata PAS mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum Malaysia yang akan datang kerana kecewa dengan pendirian parti itu menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Presiden Gerakan, Encik Dominic Lau, yang mengulas perdebatan itu, berkata PN perlu berbincang untuk menyelaraskan perbezaan bagi menguatkan kerjasama mereka.

Mengulas lanjut, Datuk Muhammad Sanusi berkata PAS tidak akan mengikut telunjuk parti lain kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.

Beliau berkata tindakan Gerakan berhubung isu berkenaan didorong kehendak menyenangkan hati pengundi Cina.

“Bincang dalam mesyuaratlah secara dalaman. Kalau Gerakan ada rasa tidak puas hati pada PAS, cakaplah. Kami (PAS) tak ada apa pun masalah. Kita hanya jawab apa dia kata. Dia yang ada masalah, dia punya pasallah,” katanya.

Anggota lain PN, yang dibentuk sebelum pilihan raya umum November 2022, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg