Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Mendengar, Berkhidmat, Menyelesaikan’ teras tawaran calon PH Sri Medan
‘Mendengar, Berkhidmat, Menyelesaikan’ teras tawaran calon PH Sri Medan
Tekad tujuh komitmen tumpu peluang kerja, kemudahan asas dan pembangunan seimbang
‘Mendengar, Berkhidmat, Menyelesaikan’ teras tawaran calon PH Sri Medan
JOHOR BAHRU: Tujuh komitmen utama ditawarkan calon Pakatan Harapan (PH) kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan dengan meletakkan pendekatan, ‘Mendengar, Berkhidmat, Menyelesaikan’, sebagai teras perjuangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Calon PH, Encik Hishamuddin Ishak, atau lebih dikenali dengan gelaran Cikgu Hishamuddin, berkata amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukan sekadar membawa suara rakyat ke persidangan dewan.
Ia juga menuntut seorang wakil rakyat sentiasa berada bersama masyarakat, memahami permasalahan mereka dan berusaha mencari penyelesaian terbaik.
Menurutnya, Sri Medan mempunyai potensi besar menerusi sektor pertanian, perusahaan kecil, pendidikan serta masyarakat kampung yang harmoni.
Namun, penduduk masih berdepan pelbagai cabaran termasuk peluang pekerjaan, kos sara hidup, kemudahan asas dan keperluan pembangunan yang lebih seimbang.
“Komitmen pertama saya ialah menjadi wakil rakyat yang mudah didekati, mesra dan sentiasa mendengar suara rakyat.
“Saya akan memastikan pusat khidmat sentiasa terbuka kepada semua, selain memperbanyakkan program turun padang supaya setiap aduan dan cadangan dapat diberikan perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media pada 2 Julai.
Beliau turut berjanji memperjuangkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda, selain memperkasa usahawan kecil, peniaga, petani dan perusahaan mikro menerusi latihan, jaringan pemasaran serta akses kepada bantuan dan pembiayaan kerajaan.
Dalam aspek pembangunan fizikal, Encik Hishamuddin berkata beliau akan memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf jalan raya, sistem saliran, liputan Internet dan kemudahan awam bagi meningkatkan keselesaan penduduk serta mengurangkan risiko banjir.
Beliau yang juga seorang pendidik berkata pendidikan, pembangunan belia, pemerkasaan wanita dan kebajikan warga emas turut menjadi antara keutamaan sekiranya diberi mandat.
“Saya percaya pendidikan adalah kunci masa depan. Program pembangunan pendidikan, latihan kemahiran untuk belia, pemerkasaan wanita serta kebajikan warga emas dan golongan memerlukan akan terus diberikan perhatian,” katanya.
Selain itu, beliau berikrar memastikan setiap bantuan kerajaan disalurkan secara adil, telus dan tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik atau latar belakang sosial, di samping mengamalkan pentadbiran yang berintegriti serta bertanggungjawab dalam menguruskan setiap peruntukan dan program untuk rakyat.
Mengulas komitmen terakhirnya, Encik Hishamuddin berkata beliau mahu membawa pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada generasi masa kini dan akan datang menerusi keseimbangan antara pembangunan ekonomi, prasarana, pendidikan, alam sekitar dengan kesejahteraan masyarakat.
Beliau menegaskan tujuh komitmen yang diketengahkan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya lahir daripada hasrat memastikan setiap keluarga di Sri Medan menikmati pembangunan yang lebih menyeluruh dan kehidupan yang lebih sejahtera.
“Saya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat, bukan hanya ketika pilihan raya tetapi sepanjang tempoh diberi amanah.
“Justeru, saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Sri Medan untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik,” tambahnya.
