Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Menilai setahunAnwar jadi PM

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Malaysia
41333
0

MALAYSIA

Menilai setahunAnwar jadi PM

Nov 27, 2023 | 05:30 AM



Tanggal 24 November 2023 genap setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim memikul amanah sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Selepas pelbagai liku dilalui lebih 25 tahun sehingga ada yang melabel beliau dengan gelaran sinis ‘PM tepi’, pemimpin berusia 76 tahun itu akhirnya berjaya mematahkan sindiran itu dan menduduki kerusi pemimpin nombor satu negara.

Gabungan politik yang diketuainya, Pakatan Harapan (PH), memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 dengan kemenangan 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) 74 kerusi, sekali gus menyaksikan tiada blok politik yang meraih majoriti untuk membentuk kerajaan.

Datuk Anwar akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri selepas beliau mendapat sokongan daripada musuh tradisi, Barisan Nasional (BN), yang memenangi 30 kerusi, selain kumpulan politik Borneo iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Datuk Anwar mencapai impian politiknya dengan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022 dengan sokongan 147 daripada 222 Ahli Parlimen (AP) yang bersamaan dengan majoriti dua pertiga.

Melayari setahun pentadbiran pemimpin Islam ke-11 paling berpengaruh di dunia ini, pelbagai pihak menyifatkan Datuk Anwar, yang juga menjawat Menteri Kewangan, berjaya mempamer prestasi membanggakan di sebalik pelbagai kekangan – antaranya kelembapan ekonomi global, kestabilan politik dan ketegangan geopolitik dunia yang turut memberi kesan langsung kepada Malaysia.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Encik Mujibu Abd Muis, berkata tempoh setahun terlalu singkat untuk diadili, namun beliau melihat banyak transformasi dan kejayaan telah dilakar Datuk Anwar.

Katanya, kejayaan paling ketara sudah tentu dalam mengembalikan kestabilan politik negara yang berkecamuk sejak PRU14 pada 2018, selain proaktif dalam membina langkah membaiki ekonomi, memperbetulkan ketirisan dan tatakelola pentadbiran.

“Kita boleh katakan memang dari satu sisi, setahun pentadbiran Datuk Anwar berada di tahap baik. Tetapi memandangkan tempohnya baru setahun, banyak perkara perlu dilakukan dan pencapaian itu jelas ada. Untuk mengadili mungkin tidak wajar kerana tahun pertama adalah perencanaan.

“Pujian harus diberikan kerana dalam negara terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia, Perdana Menteri berjaya membawa kestabilan politik menerusi Kerajaan Perpaduan pasca PRU14 dan PRU15 yang berkecamuk.

“Cuma kepimpinannya tidak berjaya ditonjolkan kerana kalah dengan persepsi. Ini kelemahan kerajaan yang perlu diperbaiki iaitu menangani persepsi. Dari segi prestasi, Perdana Menteri tidak ada isu, banyak perubahan dan transformasi telah dilaksanakan,” katanya kepada Berita Harian (BH).


Beliau berkata perancangan ekonomi Kerajaan Perpaduan jelas dan dipandu dengan baik, walaupun mewarisi kerajaan terdahulu itu terlalu banyak isu perlu ditangani.

“Datuk Anwar memberi keutamaan dalam menangani ketirisan dan berjaya mengoptimumkan kecekapan ekonomi, mencergaskan pasaran dan paling menarik ialah mengaktifkan pelaburan dengan negara kuasa besar.

“Tetapi apa yang paling penting ialah bagaimana angka ini boleh diuruskan dengan baik supaya ia pindah ke pinggan rakyat. Maksudnya, hasil itu boleh dinikmati rakyat. Bagi saya Datuk Anwar telah memimpin Malaysia ke landasan pemulihan dan kemakmuran yang betul,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Encik Mazlan Ali, pula menyifatkan peralihan sokongan AP pembangkang kepada Datuk Anwar membuktikan Kerajaan Perpaduan pimpinannya diyakini dan mampu memacu negara ke tahap terbaik.

Menurutnya, peralihan sokongan itu bukan saja menunjukkan wakil rakyat terbabit hilang keyakinan terhadap kepimpinan mereka, tetapi dalam masa sama menzahirkan kestabilan politik yang dibentuk Perdana Menteri berjaya meraih majoriti dua pertiga di Parlimen.

“Hanya sebulan sebelum genap setahun beliau memegang jawatan, beliau mendapat hadiah berupa sokongan AP pembangkang, sekali gus melepasi jumlah majoriti dua pertiga apabila empat AP PN berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Ini mematahkan dakwaan bahawa kerajaan pimpinan Datuk Anwar tidak akan bertahan lama. Saya percaya dan yakin Datuk Anwar telah merencana pembangunan ekonomi negara sebaiknya, cuma sedang dalam tempoh pelaksanaan. Hasilnya akan kita lihat dalam tahun kedua dan seterusnya nanti,” katanya.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional, Encik Muhammad Wafiq Azman, berkata dua perkara yang boleh diberikan pujian sepanjang setahun Datuk Anwar menjadi Perdana Menteri adalah kestabilan politik, dan penubuhan kerajaan Madani itu sendiri.

Beliau berkata biarpun pentadbiran setahun Perdana Menteri boleh dibanggakan, mewakili golongan belia, beliau berharap kerajaan dapat mengawal budaya hiburan yang meluas demi membangunkan modal insan berkualiti dan berintegriti, selain membangunkan pendidikan tinggi belia.

“Kami juga berharap Perdana Menteri dan kerajaan dapat membangunkan pendidikan tinggi belia kerana situasi kini menyaksikan ramai golongan belia sudah mula tidak berminat belajar di universiti menguasai satu-satu bidang ilmu.

“Justeru perhatian perlu diberikan oleh kerajaan untuk melakukan langkah yang drastik dan efektif. Hala tuju pendidikan juga perlu diberikan fokus kepada membangunkan kepakaran bidang yang diceburi dan pembangunan sahsiah,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >