Menimbang kepekaan pilihan raya Datuk Bandar KL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menimbang kepekaan pilihan raya Datuk Bandar KL

Feb 28, 2026 | 5:30 AM

Menimbang kepekaan pilihan raya Datuk Bandar KL

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebelum panas dengan perdebatan mengenai pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, pembentangan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Parlimen juga ditangguhkan pada Ogos 2025, atas alasan kebimbangan mengenai kepentingan tertentu kaum Melayu di bandar.
Sebelum panas dengan perdebatan mengenai pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, pembentangan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Parlimen juga ditangguhkan pada Ogos 2025, atas alasan kebimbangan mengenai kepentingan tertentu kaum Melayu di bandar. - Foto fail KOSMO!

Cadangan untuk melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur telah membuka kembali perdebatan lama di Malaysia – antara tuntutan demokrasi pentadbiran bandar dengan kebimbangan mengenai implikasi kaum yang sekian lama mempengaruhi landskap politik negara masyarakat majmuk itu.

Walaupun baru di peringkat kajian kebolehlaksanaan, perdebatan rancak memusatkan tumpuan kepada kebimbangan sesetengah pihak mengenai demografi kaum di bandar, serta kuasa politik dan ekonomi yang dikatakan bakal memihak kepada kaum tertentu. 

Menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, Kuala Lumpur dihuni sekitar 2.1 juta penduduk pelbagai etnik pada 2025, dengan Melayu membentuk kumpulan terbesar iaitu sekitar 47.7 peratus, diikuti Cina (41.6 peratus), India (10 peratus), dan lain-lain (0.7 peratus). 

Beberapa pemimpin dan pertubuhan perjuangan Melayu termasuk Umno, lantang menolak sebarang cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Datuk Bandar.

Antara asas kebimbangan adalah ia berpotensi menyebabkan Melayu di kawasan bandar yang majoritinya bukan Melayu terpinggir, selain boleh mewujudkan penjajahan politik strategik bukan Melayu.

Berbeza dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mewakili sebahagian besar penduduk Cina, cadangan itu yang cuba diusahakan sejak beberapa tahun dilihat sebagai agenda penting untuk disegerakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Cik Hannah Yeoh. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

Pengumuman oleh anggota DAP, Cik Hannah Yeoh, mengenai kajian kebolehlaksanaan pilihan raya berkenaan selepas hanya dua minggu menjadi bukan Melayu pertama dilantik sebagai Menteri Wilayah, pantas mengundang reaksi panas beberapa pihak.

Secara sejarahnya, Malaysia pernah mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan sebelum ia digantung pada 1965 ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia, menyusuli kebimbangan keselamatan dan ketegangan politik.

Sistem pelantikan kemudian dimantapkan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang membawa kepada keadaan yang mana semua Datuk Bandar dan ahli majlis PBT kini dilantik oleh kerajaan, bukan dipilih menerusi pilihan raya. 

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim.
Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim. - Foto MUHAMAD FUAD ABDUL KARIM

PSIKOLOGI POLITIK PENGARUHI KEFAHAMAN

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Muhamad Fuad Abdul Karim, berkata dari sudut demokrasi tempatan, cadangan pilihan raya Datuk Bandar dilihat mempunyai asas legitimasi, sebagaimana diamalkan di banyak bandar utama di Asia Tenggara seperti Jakarta, Bangkok dan Manila.

Menurutnya, cadangan pilihan raya itu mencetuskan sensitiviti kaum kerana psikologi politik Malaysia masih banyak dipengaruhi lensa perkauman, ditambah salah faham dan ketidakjelasan masyarakat tentang fungsi sebenar Datuk Bandar, selain manipulasi pihak tertentu bagi tujuan politik.

Jelas beliau, pilihan raya Datuk Bandar bukan agenda ekstrem, malah boleh meningkatkan keterlibatan rakyat dalam urusan pentadbiran bandar, satu elemen yang tidak wujud dalam sistem semasa.

Katanya kelebihan paling jelas ialah aspek kebertanggungjawapan, yang mana Datuk Bandar yang dipilih secara langsung akan bertanggungjawab kepada rakyat bandar sendiri, bukan hanya kepada Menteri Wilayah Persekutuan. 

“Ini berpotensi membuka ruang penglibatan masyarakat terhadap isu harian seperti banjir kilat, perumahan mampu milik, sistem pengangkutan awam dan perancangan bandar. 

“Semak dan imbang pada peringkat tempatan juga dijangka lebih kuat jika pemimpin itu dipilih oleh pengundi sendiri,” katanya kepada Berita Harian (BH).

Namun kata Dr Muhamad Fuad terdapat juga kebimbangan penting, yang mana Kuala Lumpur adalah Wilayah Persekutuan, bukan sebuah negeri. 

Berbeza dengan negeri lain di mana penduduknya boleh memilih wakil Ahli Parlimen (AP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Kuala Lumpur tidak mempunyai Adun dan hanya ditadbir Datuk Bandar yang dilantik kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru, mandat politik yang dimiliki oleh seorang Datuk Bandar yang dipilih secara langsung boleh bertembung dengan kuasa Kerajaan Persekutuan dan ini membuka ruang kepada konflik institusi. 

“Selain itu politik identiti juga berkebolehan untuk dieksploitasikan kerana komposisi demografi kaum di bandar agak sensitif dalam konteks Malaysia,” tambahnya.

Kata Dr Muhamad Fuad lagi, susunan demografi kaum sering dijadikan alasan untuk memperkatakan kemungkinan penguasaan satu kumpulan etnik dalam pilihan raya tempatan. 

“Sebahagian pihak risau bahawa keputusan pemilihan boleh mencerminkan corak undi berdasarkan identiti etnik yang dikuasai bukan Melayu dan bukannya isu-isu pengurusan bandar.

“Kebimbangan itu ada asasnya, memandangkan pilihan raya memang menghasilkan pemenang berdasarkan majoriti undi. Jadi ada pihak bimbang jawatan Datuk Bandar mungkin dikuasai oleh kelompok tertentu secara konsisten.

“Namun peranan Datuk Bandar adalah lebih terhad kepada hal ehwal bandar seperti perancangan bandar, lesen perniagaan, kebersihan dan pembangunan, dan tidak menyentuh dasar nasional yang dilindungi oleh Perlembagaan seperti agama, bahasa dan hak kaum,” katanya.

Menjelaskan perbezaan antara pilihan raya Datuk Bandar dan pilihan raya PBT, beliau berkata pilihan raya Datuk Bandar melibatkan pemilihan seorang ketua eksekutif bandar secara langsung, yang memberi fokus politik lebih kuat kepada individu itu. 

“Sebaliknya, pilihan raya PBT melibatkan pemilihan ahli majlis secara kolektif yang kemudian memilih ketua mereka sendiri, menjadikannya lebih bersifat teknikal dan pentadbiran,” jelasnya.

PERSEDIAAN LAKSANA PILIHAN RAYA

Kata Dr Muhamad Fuad, jika kerajaan benar-benar serius dengan cadangan itu, beberapa langkah besar perlu dipertimbangkan, termasuk pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan undang-undang berkaitan Wilayah Persekutuan untuk membenarkan sistem pemilihan. 

“Kedua, model pilihan raya perlu jelas, adakah Datuk Bandar dipilih terus oleh rakyat atau melalui ahli majlis? Tempoh mandat dan had kuasa juga perlu dinyatakan agar tiada pertindihan dengan kuasa eksekutif di peringkat pusat.

“Ketiga, ramai rakyat masih kurang memahami fungsi sebenar kerajaan tempatan dan memikirkan jawatan Datuk Bandar boleh melebihi bidang kuasanya, seolah-olah mampu mengubah dasar nasional.

“Tanpa kefahaman betul, isu ini mudah dipolitikkan dan berpotensi mencetus ketegangan kaum yang tidak perlu,” ujarnya.

Tegas Dr Muhamad Fuad, reformasi itu tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dijadikan alat politik jangka pendek, sebaliknya perlu dilakukan secara teliti, inklusif dan berjangka panjang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia, Dr Fairuzzaman Shaharuddin.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia, Dr Fairuzzaman Shaharuddin. - Foto FAIRUZZAMAN SHAHARUDDIN

Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Universiti Putra Malaysia, Dr Fairuzzaman Shaharuddin, berpandangan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu selari dengan agenda reformasi pentadbiran, namun belum sesuai dilaksanakan dalam konteks politik semasa Malaysia.

“Hal ini kerana isu pilihan raya ini bukan semata-mata daripada sudut politik kepartian, tetapi lebih luas melibatkan soal reformasi struktur pentadbiran bandar dan realiti jurang sosioekonomi.

“Daripada sudut reformasi pentadbiran, memang jelas bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP menunjukkan komitmen untuk menstruktur semula sistem pentadbiran awam agar lebih telus, responsif dan selari dengan tuntutan semasa masyarakat.

“Keperluan ini menjadi semakin mendesak khususnya di Kuala Lumpur yang kini berdepan cabaran bandar raya yang jauh lebih kompleks dan rencam berbanding sebelum ini,” katanya kepada BH.

Namun kata Dr Fairuzzaman, dalam konteks politik Malaysia yang mana asas kaum masih menjadi pengaruh utama masyarakat, parti politik berteraskan etnik secara tradisinya melihat perwakilan kuasa sebagai saluran untuk mempertahankan kepentingan komuniti masing-masing.

“Justeru, dilema utama yang timbul adalah sama ada individu yang dipilih sebagai Datuk Bandar melalui pilihan raya mampu bertindak sebagai pemimpin bandar yang benar-benar mengimbangi kepentingan semua kaum di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Dr Fairuzzaman berpandangan, dalam suhu sosiopolitik sekarang yang agak membahang dengan isu agama dan perkauman, pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar KL sedikit sebanyak bakal memberi cabaran.

Menurut beliau, isu pilihan raya ini boleh ditafsir daripada dua lensa utama sama ada siapa yang mengawal Kuala Lumpur atau bagaimana Malaysia sedang mentakrif semula hubungan antara kuasa pusat dengan autonomi tempatan.

“Jika isu ini dilihat melalui lensa kuasa, perbincangan yang terhasil lazimnya akan kekal ‘panas dan sensitif’, kerana ia mudah dikaitkan dengan persoalan kaum, perwakilan politik dan jurang sosioekonomi bandar.

“Dalam kerangka ini pilihan raya Datuk Bandar berisiko menjadi modal politik yang berpanjangan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan antara masyarakat sekiranya tidak diurus dengan naratif yang bertanggungjawab dan inklusif.

“Pendekatan sebegini, jika dibiarkan tanpa kawalan boleh menjejaskan keharmonian sosial dan kepercayaan antara kaum,” katanya lagi.

Namun, Dr Fairuzzaman tetap melihat pilihan raya Datuk Bandar satu reformasi penting, tetapi memerlukan perancangan institusi dan literasi politik yang lebih matang sebelum dilaksanakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg