Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri ingatkan umat Islam M’sia tak terpedaya pakej haji murah
Menteri ingatkan umat Islam M’sia tak terpedaya pakej haji murah
SEPANG: Masyarakat Islam di Malaysia diingatkan berwaspada dengan aktiviti penipuan pakej haji dan umrah oleh individu atau pihak tidak berlesen, termasuk pakej badal haji pada harga tidak munasabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya giat meneliti dan memantau pakej diragui bagi mengelak masyarakat menjadi mangsa penipuan.
“Sebelum ini, ada tawaran pakej badal haji pada harga serendah RM2,500 ($783) hingga RM5,000.
“Hampir mustahil untuk menawarkan pakej pada harga murah, sekarang ini pakej badal haji semuanya sudah mahal,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan (KHUP 5) di Movenpick Hotel & Convention Centre (MHCC) di Sepang, Selangor, pada 11 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menambah 2026 adalah tahun cemerlang bagi Lembaga Tabung Haji (TH) kerana merekodkan sifar penipuan haji.
“Alhamdulillah, kita mahu mengekalkan kecemerlangan ini,” katanya sambil menegaskan tidak mahu ada jemaah haji jadi mangsa penipuan pelbagai pakej.
Justeru, katanya Pengelola Jemaah Haji (PJH) perlu berperanan bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku.
Katanya, TH akan menjalankan pemantauan dengan bantuan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), selain bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kementerian serta agensi lain.
Sementara itu dalam perkembangan lain di Kuala Lumpur, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata operasi umrah Malaysia tidak terjejas susulan serangan di Riyadh, Arab Saudi.
Beliau berkata kebanyakan penerbangan jemaah umrah dari Malaysia menggunakan laluan terus ke Jeddah dan Madinah.
Menurut Datuk Razali, Riyadh bukan satu-satunya hab penerbangan di Arab Saudi kerana terdapat beberapa lapangan terbang utama lain termasuk Jeddah, Madinah, Taif dan Dammam.
“Biasanya penerbangan mana-mana syarikat penerbangan yang membawa jemaah umrah akan mengambil laluan ke Jeddah atau Madinah.
“Bagi penerbangan yang menggunakan laluan transit melalui Riyadh, syarikat penerbangan masih mempunyai pilihan untuk mengubah laluan ke destinasi lain jika keadaan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ditanya mengenai operasi umrah menyusuli serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, pada 10 Oktober.
Dilaporkan, seramai 12 orang terbunuh manakala 309 lagi cedera dalam serangan itu.
Menyusuli kes itu beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Etihad Airways dan Qatar Airways membatalkan sebahagian perkhidmatan mereka ke Riyadh, dengan beberapa pembatalan dilaporkan berlanjutan sehingga esok.
Datuk Razali berkata, buat masa ini keadaan masih terkawal dan operasi umrah berpandukan kepada arahan Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri Malaysia.