Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Jangan khianati amanah orang berinfak

Oct 3, 2024 | 10:48 AM
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mengingatkan semua agensi dan institusi amal jariah di Malaysia agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan oleh mereka yang berinfak atau bersedekah.

Menurutnya, penyelewengan dana sumbangan dan pengurusan yang tidak telus akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap institusi yang terlibat mengutip infak sekali gus menyebabkan mereka tidak berminat untuk bersedekah.

“Tadbir urus yang cekap bukan sahaja akan melahirkan organisasi amal jariah yang berdaya saing, malah mampu meraih serta kekalkan keyakinan masyarakat untuk terus menyumbang dan menjadikan institusi berkenaan sebagai institusi infak pilihan.

“Jadi, sebab itu saya sampaikan kepada semua agensi dan institusi amal untuk pastikan tatakelola dan tadbir urus yang baik dilakukan dengan seketat-ketatnya.... jangan sesekali kita khianati amanah yang diberikan oleh penyumbang-penyumbang infak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Forum Serantau Yapeim (FSY) 2024 yang dianjurkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini pada 2 Oktober.

Datuk Mohd Na’im turut mengingatkan semua agensi dan badan infak agar beroperasi berdasarkan prinsip patuh syariah yang menggalak pelaburan beretika dan pertumbuhan ekonomi yang bertanggungjawab secara sosial.

Menurutnya, sektor infak memainkan peranan penting dalam memperkasa ekonomi umat Islam di Malaysia dengan menangani cabaran sosioekonomi jangka pendek dan jangka panjang.

“Infak dan sedekah boleh bertindak sebagai jaringan keselamatan sosial selain memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesukaran kewangan.

“Ini sangat penting dalam menangani kejutan ekonomi secara mengejut seperti kehilangan pekerjaan, penyakit atau bencana alam.

“Rangkaian institusi amal jariah yang berintegriti dan kukuh dapat membantu individu daripada terjerumus ke lembah kemiskinan,” tambah beliau.

Sebelum ini, berlaku beberapa kes pempengaruh dan pertubuhan amal di Malaysia yang telah dikenakan dakwaan di mahkamah atas salah guna wang derma dan wang infak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg