KUALA LUMPUR: Kerugian yang dialami Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat perniagaan fesyen dalam talian FashionValet tidak akan menjejas keputusan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu untuk terus melabur dalam syarikat pemula.
Menteri Kewangan II Malaysia, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata aspek itu masih kekal dalam mandat Khazanah dan ia akan meneruskan usaha menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambah baik mekanisme kawalan
“Isu FashionValet tidak akan jejaskan Khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula. Visi itu masih kekal dalam mandat Khazanah.
“Khazanah akan terus berusaha untuk menyokong syarikat pemula dan modal teroka sambil meningkatkan mekanisme kawalan (bagi menangani risiko kerugian dalam pelaburan),” katanya di Dewan Rakyat (Parlimen) pada 14 November, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (AP) Bukit Bendera, Cik Syerleena Abdul Rashid (Pakatan Harapan), sama ada kes kerugian dalam FashionValet akan menjejas pelaburan Khazanah bagi pelaburan dalam syarikat pemula dan modal teroka.
Isu pelaburan Khazanah dan PNB dalam FashionValet mencuri tumpuan apabila Kementerian Kewangan memaklumkan dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu memperoleh RM3.1 juta ($930,000) hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen itu kepada syarikat Bumiputera NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB, masing-masing sebanyak RM27 dan RM20 juta, pada 2018 bagi pegangan minoriti dalam FashionValet.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut merakam keterangan pasangan pengasas FashionValet selepas mengesan beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam syarikat itu.
Dalam pada itu, Datuk Amir Hamzah, berkata pelaburan modal teroka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, membantu negara itu beralih ke status berpendapatan tinggi melalui inovasi dan pertumbuhan mampan.
“Pelaburan modal teroka berupaya memacu inovasi dengan menyediakan modal untuk syarikat pemula dan perusahaan yang berpotensi mencipta ekonomi baru, teknologi baru, model perniagaan baru, sekali gus membuka peluang dan akses awal kepada trend dan industri baru yang berpotensi dengan matlamat membangunkan ekonomi.
“Selain itu, ia juga membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsang ekonomi dan memperkenalkan teknologi maju dari pasaran luar negara ke Malaysia. Melalui sokongan terhadap syarikat baru, modal teroka juga menggalakkan persaingan yang mendorong peningkatan inovasi dan produktiviti dalam ekonomi negara,” ujarnya.
Mengulas konteks FashionValet, beliau berkata pelaburan Khazanah dalam syarikat itu dibuat tujuh tahun lalu dan sejak itu pendekatan GLIC terbabit dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak dan proses pemilihan pelaburan juga telah diperketat, termasuk pelaburan dalam syarikat pemula dan modal teroka.
Beliau berkata pelaburan modal teroka bersifat tiada kepastian dengan pelaburan dan matlamatnya adalah untuk pertumbuhan, walaupun risikonya tinggi tetapi sekiranya berjaya akan berpotensi menjana keuntungan yang tinggi.
“Menyedari risiko dan ganjaran melabur dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak mengambil keputusan menguruskan pelaburan dan menilai prestasi berdasarkan portfolio pelaburan secara keseluruhan dan bukannya pelaburan tertentu.
“Sebagai contoh, pelaburan Khazanah dalam perniagaan tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad, merupakan sebahagian daripada pelaburan modal teroka yang memberi pulangan lebih 13 kali ganda, iaitu nilai melebihi 800 juta ringgit,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg