PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta ($13.2 juta) yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga 2023, berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
“Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Tan Sri Azam berkata setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Jelasnya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
“Kita melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalahguna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” ujarnya.
Beliau berkata SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
Ditanya sama ada pasangan itu akan ditahan, Tan Sri Azam berkata pihaknya tidak berbuat demikian buat masa ini kerana mereka memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Siasatan yang masuk hari keempat pada 8 November menunjukkan pasangan pengasas platform e-dagang itu, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, sekali lagi hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, untuk direkod keterangan, susulan transaksi meragukan itu.
SPRM sebelum ini sudah menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000. Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg