Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri M’sia keluar Umno nafi sertai PKR untuk tanding pilihan raya

Jun 10, 2025 | 11:24 AM
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Foto FACEBOOK TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menafikan spekulasi yang mengatakan beliau akan menyertai pilihan raya kecil (PRK) selepas meninggalkan Umno dan memohon menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhir Mei lalu.

Tengku Zafrul berkata tiada sebarang perbincangan tentang perkara seumpama itu pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya ketika membuat keputusan meninggalkan Umno.

“Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” katanya dalam kenyataan media selepas selesai menunaikan ibadah haji bersama isterinya, lapor Malaysiakini.

Tengku Zafrul berkata beliau akan terus menunaikan tugas sebagai ahli Dewan Negara (senator) sehingga tamat penggal pada Disember 2025.

“Berkenaan kedudukan saya sebagai seorang menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara perdana menteri.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada Malaysia dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” tambahnya.

Jelas Tengku Zafrul keputusannya untuk meninggalkan Umno adalah sepenuhnya pilihan peribadinya dan tidak dibuat di bawah sebarang tekanan.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, majlis tertinggi parti, dan ahli akar umbi Umno – terutama daripada bahagian Kota Raja – atas sokongan sepanjang memegang jawatan dalam parti.

Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul mengumumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Umno dan memutuskan untuk menyertai PKR.

Ini mencetuskan semula spekulasi bahawa Tengku Zafrul mungkin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dan akhirnya dilantik sebagai menteri besar.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menafikan kerusi DUN Sungai Tua – yang dimenanginya pada pilihan raya negeri 2023 – akan dikosongkan.

Datuk Amirudin juga telah menolak spekulasi bahawa beliau akan berundur daripada jawatan menteri besar untuk memberi laluan kepada Tengku Zafrul.

Spekulasi itu dikaitkan dengan peletakan jawatan dua menteri daripada PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), selepas tewas dalam pemilihan PKR.

Tengku Zafrul disebut-sebut bakal mengisi jawatan Menteri Ekonomi, berdasarkan kebolehan dan pengalaman luasnya dalam bidang korporat dan perbankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg