LONDON: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tidak wujud sebarang ketegangan sehingga menghangatkan suhu dalam parti itu, berikutan keputusan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, keluar Umno.
Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kebanyakan akar umbi berpandangan tindakan Tengku Zafrul meletak jawatan dalam parti adalah wajar kerana tiada kesetiaan kepada parti.
“Saya tidak nampak ‘suhu kepanasan’ berlaku dalam kalangan Umno, eloklah keluar kalau tidak ada kesetiaan di dalam parti.
“Jangan ganggu beliau kerana beliau (Tengku Zafrul) sedang mengerjakan haji, moga-moga ketenangan menyelubungi minda beliau,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke Britain, bermula 2 Jun.
Pada 30 Mei lalu, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menjawab soalan mengenai rombakan Kabinet, jika tempat Tengku Zafrul sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri perlu diganti, Datuk Ahmad Zahid berkata perbincangan perlu diadakan secara dalaman antara Kerajaan Perpaduan.
“Hak mutlak pelantikan menteri ini adalah atas (budi bicara) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
” …elok kita adakan perbincangan secara dalaman supaya tidak timbul tafsiran yang pelbagai dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata Umno mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan kepada parti berkenaan susulan tindakan Tengku Zafrul itu.
Pelbagai pihak dalam Umno mendesak Tengku Zafrul meletak jawatan menteri, dan menganggap tindakannya keluar Umno sebagai tidak bermoral dan menimbulkan ketegangan parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan – Umno dan PKR.
Datuk Anwar sejak awal menegaskan jawatan Tengku Zafrul dalam kerajaan tidak terjejas dengan tindakannya keluar Umno untuk menyertai PKR.
Malah Datuk Anwar menyifatkan mantan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu yang berpengalaman luas dalam bidang perbankan dan korporat berkebolehan besar serta telah menunjukkan prestasi terbaik dalam khidmatnya menarik pelaburan luar ke Malaysia.
Umno dilaporkan langsung tidak terkesan dengan tindakan Tengku Zafrul keluar Umno, namun menuntut supaya jawatan menteri kuota Umno itu dikembalikan kepada parti itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg