KUALA LUMPUR: Malaysia tidak pernah campur tangan dalam pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja, sebaliknya hanya bertindak sebagai fasilitator atas permintaan kedua-dua negara dan kekal menjadi sebuah negara yang berpendirian neutral.
Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, berkata dakwaan bahawa Malaysia menyebelahi mana-mana pihak adalah tidak benar, memandangkan semua keputusan termasuk syarat gencatan senjata dan perjanjian perdamaian ditentukan sendiri oleh pihak Thailand dan Kemboja.
“Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator, bukan mediator. Kedua-dua pihak menghadapi kesukaran berhubung secara langsung dan mereka meminta Malaysia membantu. Negara kita neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa geopolitik,” katanya, lapor Malaysiakini.
Datuk Fahmi berkata dakwaan pihak tertentu di Thailand kononnya Malaysia campur tangan, ‘tersasar jauh’ dan tidak mewakili pendirian rasmi kerajaan negara itu.
“Ini satu dakwaan yang tidak baik dan tidak betul. Malaysia tidak masuk campur dalam perihal mana-mana negara, apatah lagi negara jiran,” katanya.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini menafikan dakwaan sesetengah pihak di Thailand yang menuduh beliau campur tangan dalam urusan negara itu, berhubung pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, Datuk Anwar mengajak pihak yang mengecam beliau agar memahami peranan Malaysia dalam membantu menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara, sebelum membuat kenyataan tanpa usul periksa.
Pada 22 November, sekumpulan individu membawa bendera Thailand dan kain rentang berkumpul di Kedutaan Malaysia di Bangkok dan menuduh Datuk Anwar sebagai Pengerusi Asean telah campur tangan dalam usaha negara terbabit mempertahankan kedaulatannya.
Kumpulan berkenaan menuntut Datuk Anwar menghentikan tekanan supaya Thailand berunding dengan Kemboja mengenai kawasan sempadan yang dipertikaikan, selain menuduh beliau melakukan ‘campur tangan politik’.
Mereka turut mendakwa Malaysia serta Amerika Syarikat cuba mempengaruhi keputusan Thailand secara tidak wajar.
Pada 28 Julai lalu, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet bertemu Datuk Anwar yang menjadi perantara rundingan antara kededua negara berkonflik itu, di Putrajaya.
Rundingan itu bertujuan mendapatkan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dan bermula di Malaysia, ketika pertikaian wilayah sempadan yang meruncing berlarutan kepada pertempuran terbuka dan pertumpahan darah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg