KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia memberi amaran tidak akan meluluskan penganjuran acara Hyrox Kuala Lumpur 2026 yang dijadual berlangsung pada 10 hingga 13 Disember depan, selagi tajaan syarikat minuman beralkohol yang diumumkan sebagai rakan rasmi acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata permohonan penganjuran acara berkenaan juga masih dalam proses penelitian dan belum mendapat kelulusan kementerian.

Beliau berkata KBS juga tidak memberikan sebarang kelulusan atau menyalurkan dana bagi penganjuran acara itu yang dijadual berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Kuala Lumpur.

Menurutnya pendirian itu selaras dengan Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat (Edisi Ketiga, 2024) yang melarang individu atau organisasi berkaitan perniagaan produk tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menganjur, menaja, mempromosi atau mengiklankan kegiatan sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.

Larangan itu turut merangkumi penjualan produk, pemberian hadiah dan penggunaan cap dagangan dalam penganjuran kegiatan sukan atau di kemudahan milik KBS dan agensi di bawahnya.

“Pendirian KBS dalam hal ini adalah tegas. KBS tidak akan meluluskan penganjuran acara ini selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.

“Ini termasuk pengeluaran semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada semua saluran rasmi acara serta tempat pertandingan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook KBS pada 4 November.

Kenyataan KBS itu menyusuli satu tangkap layar yang tular mengenai pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai ‘Official Beer Partner’ (rakan kongsi rasmi bir) bagi acara Hyrox Kuala Lumpur itu.

Dr Mohammed Taufiq berkata setiap permohonan lesen penganjuran acara sukan turut mewajibkan penganjur mengisytiharkan komitmen untuk mematuhi pelaksanaan Kod Sukan Selamat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] menetapkan sesebuah syarikat tidak boleh terlibat dalam sebarang kegiatan sukan melainkan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Menurutnya pelanggaran peruntukan itu boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 ($15,780) dan tidak melebihi RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kededuanya sekali.

Beliau menegaskan peraturan berkenaan terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol tanpa mengira jenama atau sasaran pengiklanan.

“KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta,” katanya.

Menyusuli kontroversi itu, Hyrox Malaysia dalam satu kenyataan di Facebook pada 4 November, memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan syarikat minuman beralkohol, Carlsberg, bagi penganjuran acara sukan perlumbaan kecergasan itu di Kuala Lumpur.

Penganjur mengakui pengumuman kerjasama serantau dengan Carlsberg menimbulkan kebimbangan dan rasa tersinggung dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Hyrox turut mengakui sepatutnya mengambil kira dengan lebih mendalam kepercayaan agama dan nilai budaya masyarakat Malaysia, sebelum mengumumkan kerjasama berkenaan.

“Kami mengakui kesilapan ini dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara berkenaan.

“Bersama Carlsberg, kami telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama itu bagi acara perlumbaan di Malaysia,” tambah kenyataan itu.