GEORGETOWN (Pulau Pinang): Kerajaan Malaysia menjelaskan bahawa kenderaan berdaftar dengan nombor plat asing termasuk dari Singapura kekal dilarang membeli petrol RON95 dan hanya dibenarkan membeli RON97 seperti peraturan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menjelaskan hanya warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar tempatan dibenarkan membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan pada akhir September.
“Bagi kenderaan yang berdaftar di luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97, seperti ketetapan sedia ada.
“Bagaimanapun, warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan untuk membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan akhir September nanti.
“Selain itu, hanya rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu aktif saja layak menikmati subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter ($0.60),” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Zon Utara, di Georgetown, Pulau Pinang, pada 23 September.
Mengulas kebimbangan sama ada kelonggaran pembelian tanpa subsidi kepada warga asing boleh menjejas bekalan untuk rakyat tempatan, beliau menegaskan perkara itu tidak akan timbul.
“Soal kekurangan bekalan tidak timbul kerana dasar larangan pembelian RON95 terhadap kenderaan dengan nombor pendaftaran asing tidak pernah berubah.
“Mereka (kenderaan dengan nombor pendaftaran asing) hanya boleh beli RON97 yang harganya memang sudah free float (diapungkan mengikut harga pasaran)... sesiapa saja boleh beli (RON97),” katanya.
Pada 22 September, Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan beralih kepada sistem subsidi bersasar bermula 30 September menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95).
Bermula tarikh itu, harga petrol bersubsidi RON95 buat warga Malaysia diturunkan kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05 ketika ini.
Manakala warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan plat kenderaan tempatan pula perlu membayar pada harga tanpa subsidi yang akan ditetapkan, dijangka sekitar RM2.60 seliter untuk kos bahan api itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg