Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perlu ada hukuman lebih tegas terhadap kenderaan asing isi RON 95 di M’sia

Aug 11, 2025 | 2:34 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han. - Foto HARIAN METRO

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mencadangkan kerajaan Persekutuan menambah baik peraturan sedia ada bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol RON95 bersubsidi di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata cadangan itu telah dikemukakan kerajaan negeri sejak empat bulan lalu.

Katanya, ketika ini peraturan sedia ada hanya mengenakan hukuman terhadap pemilik stesen minyak sahaja.

“Johor akan terus mencadangkan kepada kerajaan Pusat supaya penguatkuasaan dibuat terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara dan yang mengisi minyak petrol bersubsidi iaitu pemilik kenderaan bernombor pendaftaran asing.

“Sekarang tindakan hanya boleh dikenakan terhadap pemilik stesen minyak. Tapi kita memang cadangkan peraturan ditambah baik supaya ada bidang kuasa kepada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ambil tindakan kepada pemilik kenderaan asing ini,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran aplikasi mobil sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di sini pada 11 Ogos.

Menurut Encik Lee, minggu lalu terdapat dua kes baru membabitkan kenderaan bernombor pendaftaran asing dikesan mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri dan di stesen minyak di Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Katanya, KPDN Johor sudah menjalankan siasatan awal termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit.

“Kita akan meneruskan siasatan lanjutan sebelum membawa kes ini kepada pihak pendakwa raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Pada 4 Ogos lalu, tular di media sosial gambar seorang pemilik kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura dilihat sedang mengisi RON95 di dalam sebuah botol plastik besar di sebuah stesen minyak didakwa di Nusa Sentral, Iskandar Puteri.

Pemilik kenderaan berkenaan turut didakwa mengisi RON95 ke kenderaannya dahulu sebelum dilihat mengisi petrol sama ke dalam botol plastik besar.

Selang empat hari, tular di media sosial gambar seorang lelaki mengisi petrol RON95 ke dalam kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dipercayai di sebuah stesen minyak di Lebuhraya SDE.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg