KUALA LUMPUR: Alasan mahu mencari kebebasan, mengikut kawan dan kekasih serta berlaku salah faham dengan keluarga dikesan merupakan antara punca utama bagi kes kehilangan melibatkan kanak-kanak dan remaja di negara ini.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sejak 2020 hingga September 2024, sebanyak 3,847 kes kanak-kanak hilang direkodkan.
“Puratanya 770 kes setahun, kurang lebih dua kes sehari. Menariknya, daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang ini iaitu umur 18 tahun ke bawah, yang berjaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) jumpa semula adalah 96 peratus.
“Maknanya, bagi setiap 100 hilang, 96 kita selamatkan dan yang meninggal dunia atau apabila jumpa, sudah mati, adalah 10 kes.
“Jadi yang baki itu kita klasifikasikan sebagai masih hilang,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Encik Muhammad Ismi Mat Taib, semasa sesi Pertanyaan Menteri pada Sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Saifuddin berkata dari segi kategori umur kanak-kanak dan remaja yang hilang, umur 13 hingga 15 tahun mencatat rekod teramai iaitu 54 peratus, sementara umur 16 hingga 18 tahun sebanyak 37 peratus.
“Paling ramai hilang juga adalah kanak-kanak dan remaja perempuan iaitu 74 peratus berbanding lelaki, 26 peratus,” dedahnya.
Justeru, beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah PDRM sudah dan sedang menggiatkan usaha menangani kes kanak-kanak hilang itu termasuk menerusi program kesedaran.
“Kita buat kempen kesedaran kanak-kanak. Kita juga buat kempen kesedaran wanita. Jadi program kesedaran ini kita tumpukan kepada ‘age bracket’ (peringkat umur) remaja yang kita sebutkan tadi (13 tahun hingga 18 tahun).
“Tahun ini (2024) saja, kita buat 457 program kesedaran membabitkan 141,000 kanak-kanak.
“Kalau sudah berlaku insiden hilang, kita segera aktifkan. Yang paling penting bila lapor kes hilang, yang pertama perlu dilakukan adalah hebahkan seluas mungkin,” katanya.
Selain itu, Datuk Saifuddin berkata sistem ‘Nur Alert’, satu daya usaha kebangsaan yang membantu menyebarluaskan maklumat berkaitan kehilangan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah secepat mungkin, turut digunakan.
“Kita masukkan dalam portal kanak-kanak hilang selepas kita minta izin ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan kita luaskan pencarian. Apabila kita jumpa, barulah kita lakukan profil kepada kanak-kanak ini dan keluarganya.
“Selepas insiden dan kita temui, biasanya kita berikan sokongan dari segi moral dan psikologi kepada keluarga.
“Syor saya, kalau berlaku insiden (hilang) ini, jangan tunggu lepasi 24 jam, sebab ini melibatkan kanak kanak. Pesan saya, lapor segera,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg