Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak hilang ketika ambil makanan di kereta ditemui selamat

Oct 14, 2024 | 11:36 AM
Kanak-kanak 12 tahun, Madrafataha Indal Bangsawan, yang dilaporkan hilang pada 8 Oktober, ditemukan selamat pada 12 Oktober, selepas dipercayai diculik sekumpulan individu. Enam individu terbabit telah ditahan polis pada 12 Oktober.
Kanak-kanak 12 tahun, Madrafataha Indal Bangsawan, yang dilaporkan hilang pada 8 Oktober, ditemukan selamat pada 12 Oktober, selepas dipercayai diculik sekumpulan individu. Enam individu terbabit telah ditahan polis pada 12 Oktober. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

SHAH ALAM: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang sebaik turun ke tempat letak kereta di kawasan rumah pangsa di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, Selangor, pada 8 Oktober, ditemukan selamat, selepas dipercayai diculik sekumpulan individu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Penolong Pesuruhjaya Cha Hoong Fong, berkata mangsa, Madrafataha Indal Bangsawan, ditemukan pada 2.30 petang, 12 Oktober.

Beliau berkata hasil siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berdekatan mendapati kanak-kanak itu berjalan seorang diri sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi, dipercayai diculik.

Menurutnya polis mengklasifikasikan semula kes orang hilang kepada Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik mana-mana orang atau daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

“Bertindak atas maklumat, pada 5 petang 12 Oktober, enam individu warga tempatan termasuk dua wanita ditahan di Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran oleh anggota Cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.

“Hasil semakan terhadap kesemua suspek berusia antara 13 dengan 23 tahun itu mendapat seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kanak-kanak itu mengenali salah seorang daripada suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Pihak polis turut merampas Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Media tempatan pada 9 Oktober melaporkan kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diletakkan di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1.

Encik Cha berkata kanak-kanak itu ke tempat letak kereta selepas disuruh ibunya mengambil makanan dari dalam kereta pada 8 Oktober.

“Kanak-kanak itu turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah. Pada 3 petang, ibu mangsa bertindak mencari, namun tidak menemuinya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg