Seorang remaja wanita disedari hilang selepas membuang sampah di kawasan rumah mereka di Temerloh, Pahang, manakala seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta di bawah kediamannya di Klang, Selangor.
Remaja berusia 20 tahun dikenali sebagai Cik Nurul Aliya Zulkifli, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit dikenali sebagai Madrafataha Indal Bangsawan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Penolong Pesuruhjaya Mazlan Hassan, berkata bapa remaja tersebut yang juga seorang pesara kerajaan melaporkan kehilangan anaknya pada 3.15 pagi, 7 Oktober.
“Ayah gadis itu memaklumkan anak perempuannya, Cik Nurul Aliya Zulkifli, telah keluar membuang sampah kira-kira lima meter di hadapan rumah mereka di Taman Temerloh Jaya, Temerloh, pada 11.15 malam, 6 Oktober lalu.
“Setelah agak lama bapanya mendapati anaknya tiada di hadapan rumah, beliau mencari di hadapan rumah dan kawasan sekitar tetapi tidak bertemu anaknya,” kata beliau.
Berdasarkan laporan, ketika disedari hilang, gadis itu memakai blaus putih belang biru serta berseluar hitam dan turut memakai sepatu berwarna hitam putih.
Polis telah menggerakkan usaha pencarian namun masih belum menjumpai remaja berkenaan yang digambarkan bertubuh agak kurus, dengan berketinggian 160 sentimeter (cm) dan berat badan 45 kilogram (kg) serta berkulit kuning langsat.
“Sesiapa yang ada maklumat keberadaan gadis itu boleh hubungi balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Madrafataha Indal Bangsawan, dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diletakkan di bawah kediamannya di sebuah rumah pangsa di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, pada 9 Oktober petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Penolong Pesuruhjaya Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 8.59 malam dan hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan warga tempatan itu turun ke tempat letak kereta selepas disuruh ibunya untuk mengambil makanan dari dalam kereta sekitar 2.20 petang.
“Kanak-kanak itu turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah. Pada 3 petang, ibu mangsa bertindak mencari kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemuinya.
“Ibu mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan satu kertas siasatan bagi orang hilang telah dibuka,” katanya.
Mangsa digambarkan berbadan kurus, berkulit cerah, rambut di paras bahu serta berketinggian 150cm dan kali terakhir dilihat berpakaian kemeja-T berwarna hijau dan berseluar hitam.
“Polis telah menjalankan operasi mencari mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg