Topic followed successfully
Go to BHkuSiasatan isu saham Ketua SPRM, dakwaan ‘mafia korporat’ bakal didedah kelak
Siasatan isu saham Ketua SPRM, dakwaan ‘mafia korporat’ bakal didedah kelak
Kerajaan menanti maklum balas Ketua Setiausaha Negara; pastikan semua prosedur selesai
Siasatan isu saham Ketua SPRM, dakwaan ‘mafia korporat’ bakal didedah kelak
KUALA LUMPUR: Pendedahan mengenai siasatan isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki, termasuk dakwaan ‘mafia korporat’ dalam suruhanjaya itu, akan dibuat pada masa yang sesuai.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan kerajaan menanti maklum balas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan perlu memastikan semua prosedur selesai sebelum sebarang pendedahan dibuat.
“Kita perlu pastikan siasatan berkenaan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait pemakluman hasil siasatan terhadap pegangan saham Tan Sri Azam boleh didedahkan,” katanya.
“Tetapi ia terserah kepada Jemaah Menteri... sekiranya pada bila-bila masa, kita merasakan proses siasatan itu sudah cukup, maka itu terserah kepada Jemaah Menteri (untuk dedahkan),” jelas beliau dalam sidang media mingguan pada 1 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 1 April, Tan Sri Shamsul Azri menafikan dakwaan media antarabangsa Bloomberg bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Tan Sri Azam.
Tan Sri Shamsul Azri turut mengumumkan Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan lanjut terhadap agensi media itu berikutan dakwaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata Tan Sri Shamsul Azri sebelum ini telah memaklumkan bahawa beberapa proses perlu dipatuhi sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Justeru, pihaknya menyerahkan kepada Tan Sri Shamsul Azri untuk memastikan semua proses itu dipatuhi.
Laporan itu terdahulu mendedahkan dakwaan pemilikan saham oleh Tan Sri Azam melebihi had yang dibenarkan untuk seorang pegawai kerajaan.
Laporan itu mendakwa Tan Sri Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partners Berhad, iaitu kira-kira 1.7 peratus pegangan.
Kontroversi Tan Sri Azam dilihat telah mencemarkan integriti dan tadbir urus pegawai kanan kerajaan, terutamanya SPRM.
Rentetan itu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham Ketua SPRM, dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Laporan itu pada 30 Mac kemudian memetik sumber tanpa nama, mendakwa Datuk Anwar meminta ‘tokoh penting’ dalam siasatan Tan Sri Azam, untuk menangguhkan pendedahan laporan Jawatankuasa Khas itu.
Menurut laporan tersebut, Datuk Anwar dikatakan bimbang isu itu boleh menjejaskan kedudukan kerajaan sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

