Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Siri serangan terhadap institusi kerajaan M’sia tidak saling berkait

May 23, 2024 | 4:03 PM
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri pada 23 Mei. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Siasatan polis Malaysia mendapati beberapa kejadian yang berlaku, termasuk serangan di balai polis, percubaan menceroboh Istana Negara di Kuala Lumpur dan ugutan terhadap Ahli Parlimen (AP), tiada kaitan antara satu sama lain.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata siasatan polis setakat ini mendapati semua kejadian itu menunjukkan corak berbeza.

“Tidak, berbeza corak insiden itu. Dalam insiden di Balai Polis Datuk Keramat (Pulau Pinang), ketika insiden dia mabuk, jadi yang ‘trigger’ itu adalah mabuk dan kita pun sudah dakwa dia di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan kerana mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

“Serangan di (Balai Polis) Ulu Tiram, seperti yang saya sebut sebelum ini, bahawa dia bertindak ‘lone wolf’ (bersendirian), manakala yang kita tahan di Istana Negara, dia kata dia mimpi, mimpi itu memerintahkan dia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Saifuddin berkata demikian pada satu sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri pada 23 Mei.

Media sebelum ini melaporkan polis giat menyiasat sama ada beberapa kejadian yang berlaku dalam tempoh singkat adalah tindakan rambang atau memang dirancang.

Antara insiden itu ialah serangan di balai polis, ugutan terhadap AP, percubaan menceroboh Istana Negara dan serangan ke atas anggota polis di Pulau Pinang.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Datuk Saifuddin berkata fokus siasatan bukan pada penyerangnya sahaja, malah unsur penghasut.

Beliau menjelaskan bahawa siasatan polis ke atas keluarga penyerang mendapati mereka tidak bercampur masyarakat kerana menganggap orang lain sebagai kafir.

“Mereka kuat mempercayai bahawa orang lain kafir, apabila kafir, implikasinya besar, putus silaturahim sesama agama, membawa implikasi buruk lain kepada masyarakat dan negara.

“Sebab itu dalam ucapan saya, saya tekankan bukan hanya fokus kepada pelaku, fokus juga kepada penghasut, perbuatan mengkafirkan orang, membawa kemusnahan yang dahsyat,” katanya.

Dua anggota polis terbunuh dan seorang cedera dalam kejadian pada 17 Mei itu, yang dilakukan oleh seorang lelaki.

Pada hari sama, polis menahan dua lelaki yang membawa parang yang cuba menceroboh Istana Negara.

Pada 18 Mei, AP Seputeh, Cik Teresa Kok, menerima ugutan bunuh menerusi surat yang dihantar ke rumahnya bersama dua peluru.

Dalam kejadian di Pulau Pinang itu, seorang lelaki ditahan ketika cuba merampas submesingan daripada anggota polis yang bertugas di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg