PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menafikan berlaku insiden tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dipukul di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Beliau berkata perkara berkenaan dimaklumkan Ketua Pengarah Penjara yang menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap dakwaan terbabit.
“Saya sudah menerima laporan penuh dan (dakwaan) insiden memukul itu tidak berlaku,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu, media Malaysia melaporkan isteri kepada seorang tahanan Sosma membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh yang mendakwa suaminya dipukul.
Wanita terbabit mendakwa suaminya dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh pada 12 Februari selepas cedera parah dipercayai akibat dipukul.
Mengulas mengenai laporan wanita terbabit, Datuk Saifuddin Nasution berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Yang berlaku adalah insiden mogok (membabitkan tahanan), apabila mogok berhari-hari, tidak ambil makanan dan tidak minum air, fizikal badan pun rasa lemahlah.
“Jadi, apabila dibawa ke hospital terpaksa bawa dengan kerusi roda dan sebagainya.
“KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Penjara tiada apa-apa yang mahu disembunyikan,” katanya.
Mengenai tindakan mogok oleh ahli keluarga tahanan Sosma di luar penjara itu, Datuk Saifuddin Nasution berkata kertas siasatan mengenai perhimpunan itu dikategori sebagai tiada tindakan lanjut.
Menurutnya, laporan penuh berkaitan kejadian mogok itu juga sudah dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 8 Februari, polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dan tindakan mogok lapar oleh beberapa individu di hadapan Penjara Sungai Buloh, dipercayai membabitkan anggota keluarga tahanan Sosma.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendakwa Jabatan Penjara Malaysia menghalang pihaknya menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah, Perak.
Pada masa yang sama, Suhakam menyuarakan kebimbangan mendalam dan kecaman keras terhadap halangan yang didakwa dihadapi pegawainya ketika menjalankan siasatan rasmi mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang membabitkan banduan di Penjara Taiping pada 17 Januari.
Media Malaysia sebelum ini melaporkan Jabatan Penjara mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping pada 17 Januari yang menyebabkan seorang banduan meninggal dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg