Topic followed successfully
Go to BHkuMenteri: Usah jadikan krisis TT alasan naikkan harga rumah di M’sia
Menteri: Usah jadikan krisis TT alasan naikkan harga rumah di M’sia
Projek perumahan dipantau rapi agar tidak terjejas atau alami kelewatan pembinaan
Menteri: Usah jadikan krisis TT alasan naikkan harga rumah di M’sia
IPOH: Semua pemain industri sektor pembinaan diharap tidak menjadikan ketegangan krisis di Timur Tengah ketika ini sebagai alasan untuk menaikkan harga dalam usaha memastikan harga projek perumahan khususnya rumah mampu milik kekal stabil.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Encik Nga Kor Ming, berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus berusaha memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun berdepan kenaikan kos bahan binaan di pasaran sejagat, menyusuli susulan konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.
Beliau berkata krisis itu yang membawa malapetaka kepada seluruh dunia termasuk Malaysia tidak patut dijadikan kesempatan untuk menaikkan harga binaan, terutama apabila kerajaan ketika ini membelanjakan RM4 bilion ($1.27 bilion) sebulan bagi subsidi bahan api, termasuk untuk kenderaan membawa bahan binaan.
“KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara akan mencari ikhtiar supaya jumlah kos bahan binaan berada dalam keadaan terkawal.
“Sebab itu kita memberikan RM4 bilion subsidi khususnya semua pengangkutan awam termasuk lori yang mengangkut bahan binaan.
“Mereka masih lagi menerima (harga) subsidi setiap hari, yang mana harga bahan api mereka masih lagi jauh lebih rendah.
“Sebab itu berlandaskan kepada semangat kita teguh bersama, saya memohon semua pemain industri supaya sama-sama jangan ambil kesempatan.
“Ini kerana ia krisis dunia yang membawa musibah dan malapetaka kepada seluruh dunia dan sudah tentunya Malaysia tidak akan terkecuali daripada krisis sejagat ini,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat (PMR) 2026 di Ipoh, Perak, pada 5 April, lapor Harian Metro.
Terdahulu, Encik Nga ketika berucap berkata kementeriannya memantau rapi agar projek perumahan yang sedang dilaksanakan tidak terjejas atau mengalami kelewatan akibat keadaan krisis berkenaan.
Menurutnya, dalam masa sama Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) terus diperkasa bagi membantu golongan yang tidak mempunyai slip gaji tetap, termasuk pekerja sektor ekonomi gig untuk memiliki rumah pertama.
Menurutnya, ia termasuk melalui tambahan peruntukan RM10 bilion, menjadikan keseluruhan RM40 bilion diperuntuk bagi tujuan jaminan kredit itu seperti diumumkan kerajaan Madani dalam Belanjawan 2026.
Sebelum ini, pemain sektor pembinaan di Malaysia menyuarakan kebimbangan kos pembinaan melonjak akibat peningkatan harga bahan api, sekali gus memberi kesan kepada industri.
Presiden Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) Perak merangkap Ahli Jawatankuasa PKPM Pusat, Encik Mohd Hawarie Tan Muzi, berkata industri pembinaan negara dijangka berdepan kenaikan kos bahan binaan antara 5 dengan maksimum 40 peratus, jika konflik di Timur Tengah berlarutan.
Ia sekali gus memberi tekanan besar kepada keseluruhan rantaian industri.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, pula mendedahkan lebih 100 projek prasarana dan pembangunan tidak dapat berjalan, ekoran kontraktor sudah ‘mengangkat bendera putih’ menyusuli kenaikan mendadak harga bahan api akibat konflik di Timur Tengah.
Beliau berkata lebih parah hampir sejuta pekerja yang mempunyai kaitan dengan sektor pembinaan termasuk jurutera, teknisyen dan penyelia turut dikhuatiri hilang pekerjaan, jika konflik peperangan itu berlarutan.

