Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Warisan, hak Melayu di Kampung Baru dikekalkan

Jan 3, 2025 | 12:04 PM
Kampung Baru di Kuala Lumpur.
Kampung Baru di Kuala Lumpur. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Pembangunan Kampung Baru di ibu kota Malaysia Kuala Lumpur pada masa depan akan mengambil kira sejarah dan status tanahnya bagi memastikan ia kekal sebagai warisan Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pihaknya akan memastikan apa saja pembangunan di Kampung Baru akan terus dikekalkan sebagai perkampungan Melayu.

“(Tempoh) 125 tahun bukanlah satu masa pendek tetapi panjang dan sudah tentu Kampung Baru ini mempunyai pelbagai sejarah.

“Tetapi saya sebagai Menteri yang menerajui Wilayah Persekutuan kita melihat ke hadapan apa saja yang berlaku di Wilayah Persekutuan khususnya pembangunan di Kampung Baru akan mengambil kira sejarah dan status tanah kampung ini.

“Saya juga berbincang dengan penduduk Kampung Baru (tentang) pembangunan yang kita ingin bangunkan nanti ciri-ciri kemelayuan itu akan kita kekalkan sebab kampung ini penuh dengan sejarah, terkenal dengan tradisi makanannya dan akhirnya ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keseluruhan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin sempena sambutan 125 tahun Kampung Baru di Masjid Jamek Kampung Baru di sini pada 2 Januari.

Turut hadir, Ahli Parlimen (AP) Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dr Zaliha berkata pembangunan di kampung itu perlu dibuat dengan berhati-hati kerana tempoh 125 tahun bukan satu jangka masa pendek.

“Jadi kita kena berhati-hati dalam membuat pembangunan, termasuk pembangunan baru supaya ciri kemelayuan dikekalkan.

“Tambahan pula, negara kita mempunyai banyak agenda sempena Kepengerusian Asean pada tahun ini (2025) dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Datuk Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata sebagai wakil rakyat kawasan Titiwangsa, beliau akan terus mempertahankan Kampung Baru dikekalkan untuk orang Melayu.

Majlis kesyukuran itu bertujuan memohon keberkatan supaya segala perancangan dan pembangunan pada masa depan dapat dijalankan dengan teratur dalam memberi keutamaan dan memelihara kepentingan orang Melayu di kampung itu secara terangkum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg