Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak terlepas daripada tindakan undang-undang apabila beliau bakal menjadi pemimpin pertama di Malaysia yang dikenakan denda kompaun kerana melanggar peraturan larangan merokok di premis makanan.
Peraturan itu dikuatkuasakan kerajaan Malaysia sejak Oktober 2024.
Gambar yang ‘menangkap’ Datuk Mohamad, yang dikenali ramai dengan panggilan Tok Mat, merokok di sebuah premis makanan di Negeri Sembilan tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna aplikasi X.
Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai tarikh dan masa perbuatan itu dilakukan ketika beliau, yang juga timbalan presiden Umno, duduk bersama beberapa lelaki lain. Nama restoran juga tidak didedahkan.
Tok Mat melanggar peraturan di bawah Akta Kawalan Produk Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang menyenaraikan 28 kawasan larangan merokok, termasuk tempat makan.
Sejurus berita mengenai perkara itu tular, beliau memohon maaf secara terbuka, namun masih sempat berseloroh ketika ditanya wartawan mengenai kesalahan dilakukannya itu dalam satu sidang media pada 18 Disember.
“Alhamdulillah I’m getting popular for the wrong reason (saya popular disebabkan perkara yang salah).
“Insiden itu (berlaku) dekat kampung (di Negeri Sembilan). Jadi kalau ia menjadi kerisauan dan isu kepada masyarakat, saya memohon maaf seikhlasnya,” kata Datuk Mohamad.
Beliau turut mengesahkan sudah didatangi pegawai daripada Pejabat Kesihatan Daerah Seremban dan akan membayar denda kompaun yang dikenakan.
“Pagi tadi (18 Disember) saya telah pun menerima kedatangan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban kerana saya tak dapat balik ke Seremban (Negeri Sembilan), dan saya minta kalau boleh datang (ke Kuala Lumpur) sebab esok (19 Disember) saya dah nak ke Bangkok (Thailand).
“Mereka datang dan saya menerima notis kompaun tersebut. Notis kompaun ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menetapkan nilai kompaun dan tindakan selanjutnya. Kompaun saya bayar. Harap-harap tak tinggi sangatlah,” katanya sambil tersenyum.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dalam satu maklum balasnya mengenai ciapan yang tular di X mengenai salah laku Datuk Mohamad itu, menegaskan tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok dalam restoran.
“Setelah Akta 852 ini berkuat kuasa pada 1 Oktober yang lalu, saya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang,” kata Dr Dzulkefly di X.
Peraturan larangan merokok di premis makanan dan kawasan awam dilaksanakan sejak 2019, namun masih terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang tidak mengendahkannya dan secara terbuka merokok di tempat yang tidak sepatutnya.
Pada Oktober, kerajaan meluaskan kawasan larangan merokok dengan menyenaraikan 28 kawasan, termasuk hospital atau klinik; bangunan dobi; lif atau tandas awam; kedai berhawa dingin; bangunan hentian pengangkutan awam; kawasan premis kerajaan; institusi pendidikan; dan bangunan Parlimen.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg