KUANTAN: Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ diharamkan secara total.
Beliau berkata saranan itu dibuat susulan kebimbangan beliau terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan perangkaan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menurutnya, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan ‘vape’.
“Alat ‘vape’ ini adalah alat yang merosakkan kesihatan. Saya akan menyuarakan kepada kerajaan supaya ‘vape’ perlu diharamkan secara total.
“Tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Sultan Abdullah berkata demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) 2024 di sebuah hotel di Kuantan pada 18 November.
Diminta mengulas saranan tersebut, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerajaan Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap ‘vape’ menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan ‘vape’ di peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan ‘vape’ melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan ‘vape’ ketika ini, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.
“Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkannya tetapi jika tidak boleh diharamkan, kita perlu mengawal selia.
“Kerajaan Perpaduan tetap berpendirian kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia 2024 di Putrajaya pada 19 November, lapor BHM.
Sebelum ini, Johor dilapor telah melaksanakan larangan menjual ‘vape’ dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa Akta 852 menyediakan kerangka perundangan yang lengkap untuk mengawal selia seluruh rantaian bekalan ‘vape’, termasuk aspek pendaftaran, penjualan dan penghantaran.
“Keputusan kementerian untuk kawal selia melalui Akta 852 adalah satu langkah perundangan yang lengkap dan sempurna.
“Kita mengambil sikap untuk mengawal selia dan tidak mengharamkan ‘vape’ secara menyeluruh,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg